Jumaat, 23 Oktober 2020
PERBICARAAN SRC
04/12/2019 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, merupakan individu yang telah mengatur perjumpaan beliau dengan Raja Abdullah bin Abdulaziz Al-Saud dalam beberapa lawatan di Riyadh dan Jeddah.

Bekas perdana menteri itu memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa sebelum lawatan rasminya ke Arab Saudi pada Januari 2010, Low ada memberitahunya bahawa Raja Abdullah kagum dengan kemampuan Malaysia mengamalkan kesederhanaan sebagaimana dituntut dalam Islam dan layanan sama rata antara orang Islam dan bukan Islam.

“Menurut Jho Low, Raja Abdullah mahu mengurniakan saya dengan kurniaan tertinggi Arab Saudi bagi orang awam iaitu King Abdulaziz Order of Merit (1st Class) ketika kunjungan saya pada Januari 2010,” kata Najib yang juga bekas menteri kewangan.

Najib, 66, berkata demikian ketika memberi keterangan membela diri terhadap tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau seterusnya berkata pada sekitar pertengahan 2010,  Low memberitahunya Raja Abdullah bersetuju untuk memberikan sokongan dalam bentuk derma peribadi.

Menurut Najib, beliau pada awalnya tidak diberitahu berapa jumlah atau tarikh penerimaan derma itu.

“Dari  2011 hingga 2014, saya menerima sejumlah wang yang besar yang mana saya percaya ia adalah derma daripada Raja Abdullah sebagai tanda sokongan baginda,” kata Najib yang turut memberitahu Low ada memaklumkan bahawa derma itu berjumlah antara AS$100 juta dan AS$200 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau percaya bahawa Low menguruskan derma itu bagi pihak keluarga diraja Arab Saudi.

Ditanya peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohammed adakah beliau tidak berasa terkejut dengan jumlah yang besar itu, Najib berkata: "Ia mungkin kelihatan banyak tetapi saya mengetahui bahawa keluarga diraja Saudi terkenal dengan sifat pemurah."

Najib berkata beberapa pucuk surat berkenaan derma itu juga diterima oleh AmBank selaku bank penerima dan beliau sendiri, dan ini selaras dengan derma berkenaan.

Pada 11 Nov lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC  International itu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam pada itu, Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu mengenai 14 transaksi berjumlah RM123 juta dalam akaun bank SRC International yang dipindahkan ke Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) pada 2014 dan 2015.

Najib yang merupakan penasihat emeritus SRC berkata beliau juga tidak sedar akan kewujudan anak syarikat SRC bernama Gandingan Mentari Sdn Bhd ketika itu tetapi mendapat tahu mengenai Gandingan Mentari apabila isu berhubung  RM42 juta diterbitkan dalam laporan berita.

--  BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan