Khamis, 13 Ogos 2020
PERBICARAAN SRC
22/10/2019 07:12 AM

KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Mahkamah Tinggi akan mendengar esok penghujahan dalam kes berprofil tinggi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar perbicaraan kes itu, menetapkan selama dua hari bermula esok untuk pihak pembela dan pendakwaan mengemukakan hujah masing-masing.

Prosiding akan bermula dengan pihak pembela terlebih dahulu akan mengemukakan hujah untuk mematahkan penghujahan pihak pendakwaan.

Difahamkan bahawa seorang lagi peguam mewakili Najib iaitu Harvinderjit Singh akan berhujah dahulu dan diikuti oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang akan mengemukakan hujah balas.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pihak pembelaan.

Pada 27 Ogos, pihak pendakwaan telah menggulung kesnya selepas perbicaraan selama 58 hari dengan 57 saksi memberi keterangan.

Hakim Mohd Nazlan sebelum ini menetapkan 11 Nov untuk membuat keputusan sama ada memanggil Najib untuk membela diri atau membebaskannya daripada pertuduhan.

Hakim juga menetapkan 3 hingga 4 Dies, 9 hingga 12 Dis dan 16 hingga 19 Dis untuk Najib membela diri jika mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Najib, 66, yang juga Ahli Parlimen Pekan, pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018, untuk menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan satu pertuduhan salahguna kuasa berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 17 Ogos, 2011, dan 10 Feb, 2015.

--  BERNAMA

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan