Rabu, 27 Mei 2020
KEMELUT POLITIK
16/04/2020 03:36 PM

GEORGE TOWN, 16 April  -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)  menggesa kerajaan memantau harga makanan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang didakwanya meningkat susulan sebilangan peruncit mengambil kesempatan menjual barangan jauh melebihi harga biasa.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata pihak menerima laporan yang mendakwa harga bawang India meningkat sehingga 53.85 peratus iaitu melebihi harga biasa RM6.50 sekilogram di pasar basah dan kedai runcit di negeri ini.

“Begitu juga dengan harga sayur-sayuran. Sebelum ini terdapat laporan mengenai sayur-sayuran dan buah-buahan yang dibuang kerana gangguan rantaian bekalan petani ke pasar dan oleh itu berlaku lambakan bekalan di ladang. 

“Lebih-lebih lagi, dengan PKP, orang kurang keluar ke pasar dan dengan itu permintaan menurun secara drastik tetapi keadaan ini bukanlah justifikasi untuk lonjakan harga secara drastik,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohideen juga melahirkan rasa  bimbang dengan kebergantungan negara terhadap makanan yang diimport pada kadar 30 hingga 40 peratus bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, tidak seperti negara pengeluar makanan seperti Thailand dan Vietnam, kita tidak mempunyai pengeluaran makanan yang berkesinambungan.

“Pada tahun 2012, saintis pertanian Mohd Peter Davis memberi amaran bahawa Malaysia akan menghadapi risiko kelaparan jika mengalami krisis ekonomi yang besar, katanya.

Justeru, Mohideen berkata CAP menggesa kerajaan untuk memperkenalkan dasar pertanian yang komprehensif bagi memastikan jaminan bekalan makanan di negara ini selepas pandemik COVID-19 berakhir. 

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar ketika dihubungi berkata beliau telah mengarahkan pegawai dan anggotanya menjalankan siasatan dan pemantauan berhubung dakwaan berlaku kenaikan harga sepanjang tempoh PKP di negeri itu.

Beliau berkata sehingga kini, pihaknya telah menerima 555 aduan berhubung bekalan dan harga barangan sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas dengan empat notis dikeluarkan membabitkan aduan kenaikan harga telur dan bawang. 

“Bermula 18 Mac hingga 13 April juga, KPDNHEP Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan ke atas 626 premis membabitkan 312 pasar raya, 68 kedai runcit dan 246 pasar awam.

“Di samping itu, KPDNHEP turut melakukan pemeriksaan ke atas 834 premis barangan keperluan harian melibatkan lima pengilang, 26 pemborong dan 803 peruncit bagi memastikan bekalan keperluan harian mencukupi,” katanya.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan