Rabu, 27 Mei 2020
KEMELUT POLITIK
13/04/2020 08:21 PM

PUTRAJAYA, 13 April  -- Kementerian Kesihatan (KKM) mempergiatkan tindakan dan aktiviti pengesanan jangkitan COVID-19 dalam kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah bagi mengekang virus tersebut dalam komuniti di kawasan itu. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada masa sama, komuniti di zon berkenaan perlu mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berada di rumah dan mengurangkan pergerakan. 

"Ia bukan sekadar mesej mudah, tetapi juga apa yang perlu dilakukan oleh rakyat. 

"Sekurang-kurangnya duduk rumah, amalkan kebersihan dan jarakan selamat untuk mudahkan tindakan KKM berhasil mengesan kes positif di kawasan itu," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata KKM mengaktifkan langkah mengesan, menguji dan mengasing secara padu komuniti di kawasan zon merah bagi membantu mengawal perebakan virus COVID-19 seterusnya menyumbang kepada peratus kematian yang rendah di negara ini. 

Sehingga hari ini, zon merah COVID-19 masih kekal 26 daerah, dengan Lembah Pantai merekodkan peningkatan jumlah kes positif yang hampir mencecah 500 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM menerima hampir 2,500 panggilan dan lebih 1,200 WhatsApp melalui perkhidmatan tele-kaunseling dan e-kaunseling sejak 28 Mac lepas hingga hari ini. 

Beliau berkata tiga isu utama yang diutarakan oleh mereka yang menghubungi talian itu ialah untuk mendapatkan sokongan emosi, bantuan dan sumbangan serta maklumat lanjut COVID-19.

"Secara kumulatif sejak 28 Mac hingga 12 April kita menerima 2,309 panggilan dan 252 WhatsApp.  Setakat ini pada pukul 4.30 petang, tambahan 150 panggilan dan lebih 1,000 mesej WhatsApp telah kita terima," katanya. 

Talian tele-kaunseling dan e-kaunseling melalui Talian Sokongan Psikososial  COVID-19 diwujudkan bagi memberi sokongan emosi kepada rakyat Malaysia sepanjang PKP, yang merupakan kerjasama KKM dengan Sukarelawan Mercy Malaysia. 

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan