Rabu, 27 Mei 2020
KEMELUT POLITIK
10/04/2020 03:02 PM

KEPALA BATAS, 10 April  -- Bagaikan rezeki mencurah-curah. Itulah gambaran yang dapat diberikan kepada nelayan di Kuala Muda, Penaga di sini kerana pendapatan mereka sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin meningkat berikutan hasil tangkapan yang banyak.

Peraih yang datang membeli di Pasar Bisik Kuala Muda juga meningkat malah mereka yang datang itu dari kawasan lain bagi mendapatkan hasil laut untuk dijual di tempat masing-masing.

Perkara itu diakui Ketua Unit Nelayan Kuala Muda, Ariffin Mat yang menyatakan kira-kira 300 nelayan Kuala Muda yang berdaftar ketika ini mampu menarik nafas lega kerana kebanyakan mereka meraih pendapatan lebih 30 hingga 70 peratus setiap hari bergantung pada jumlah tangkapan hasil laut.

"Sebaik dimaklumkan pelaksanaan PKP, kami nelayan di sini susah hati kerana takut tidak dibenarkan ke laut dan tiga hari pertama memang kami tidak turun menangkap ikan, namun apabila keluar arahan boleh ke laut memang gembira sebab masing-masing boleh cari pendapatan untuk keluarga.

"Tapi timbul pula masalah kehadiran orang yang ramai di Pasar Bisik Kuala Muda tempat nelayan menjual ikan kepada peraih dan orang ramai sehingga polis terpaksa menjaga di sini supaya mereka yang hadir mematuhi PKP. Kami sekali lagi susah hati kerana takut hasil tangkapan tidak dapat dijual berikutan arahan hanya boleh dijual kepada peraih sahaja," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Ariffin berkata dengan bantuan pihak media yang menguar-uarkan tangkapan hanya boleh dijual kepada peraih jumlah mereka yang sebelum ini hanya 30 hingga 40 orang meningkat kepada 200 peraih malah semua mereka mematuhi arahan pelaksanaan PKP terutama berhubung jarak sosial.

Dalam masa sama hasil tangkapan nelayan juga meningkat sehingga ada yang mampu membawa balik hasil laut 200 kilogram (kg) setiap kali keluar menangkap hasil laut berbanding sebelum ini sekitar 100 kg sahaja.

"Nampaknya musim PKP ini beri rezeki lebih sedikit kepada nelayan di sini. Pasar kami beroperasi bermula pukul 9.30 pagi hingga 1.30 tengah hari setiap hari dan kebanyakan peraih datang pada masa berbeza, jadi orang tidak begitu ramai dalam satu-satu masa," katanya sambil memberitahu terdapat 160 bot nelayan turun ke laut di situ.

Seorang nelayan, Mohd Radzi Ali, 42, berkata beliau bersyukur pendapatannya bertambah kerana hasil tangkapan meningkat sekarang ini.

"Kalau hasil laut boleh dapat banyak ni dalam tempoh dua tiga minggu lagi, kami bolehlah simpan Bantuan Prihatin Nasional yang kerajaan bagi untuk persiapan raya," kata bapa empat anak itu.

-- BERNAMA

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan