Selasa, 07 April 2020
KEMELUT POLITIK
13/03/2020 12:26 PM

IPOH, 13 Mac -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah memberi perkenan melantik semula Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kol (B) Datuk Abd Rahim Mohamad Nor menerusi satu kenyataan di sini hari ini. 

Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-13 akan berlangsung di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3 petang ini. 

Abd Rahim berkata Sultan Nazrin berkenan melantik Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ke-13 setelah beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dibuat berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan. 

Selasa lepas, Ahmad Faizal, yang juga ADUN Chenderiang, meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-12 setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu yang dipimpinnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14, tumbang. 

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada UMNO, PAS dan Bersatu mendapat sokongan 32 daripada 59 ADUN bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Pada hari sama, empat ADUN bertindak meninggalkan parti masing-masing dengan seorang ADUN PKR menyertai Bersatu, serta dua ADUN DAP dan seorang ADUN Amanah meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.     

Mereka yang terlibat ialah ADUN PKR Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamahri yang menyertai Bersatu, manakala ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A.Sivasubramaniam meninggalkan DAP serta ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain keluar dari Amanah. 

Yong, Sivasubramaniam dan Hasnul bagaimanapun menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional Perak yang akan mengambil tampuk pemerintahan negeri daripada PH selaras dengan jajaran politik baharu di negeri itu.

Berikutan itu, komposisi DUN Perak kini terdiri daripada Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO (25); DAP (16); Amanah (5); Bersatu (4); PKR (3), PAS (3) dan Bebas (3). 

-- BERNAMA

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan