Selasa, 07 April 2020
KEMELUT POLITIK
06/03/2020 07:04 PM

MELAKA, 6 Mac -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob memaklumkan Ketua Menteri Melaka yang baharu adalah dalam kalangan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong gabungan BN.

BN mempunyai 13 ADUN dalam Dewan Undangan Negeri Melaka manakala dua lagi yang menyokong gabungan itu ialah ADUN Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR) dan ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP).

Ab Rauf berkata bagaimanapun nama Ketua Menteri Melaka yang baharu itu hanya akan diumumkan pada 3 petang sebelum Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-12 dijadual Isnin ini.

"13 ADUN BN bersama dua ADUN gabungan dipanggil menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka bagi membincangkan situasi politik negeri Melaka. Perbincangan menjurus kepada kesejahteraan rakyat khususnya kestabilan politik Melaka keseluruhannya.

"Dimaklumkan kepada kami calon Ketua Menteri Melaka Ke-12 akan diumumkan pada 3 petang sebelum majlis angkat sumpah 9 Mac yang datangnya daripada kalangan wakil rakyat, 13 (ADUN BN) tambah dua orang (gabungan sokong BN)," katanya pada sidang media di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Pada 2 Mac lepas, dilaporkan Mohd Khalil mendapat representasi bahawa Ketua Menteri Adly Zahari tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka.

Sehubungan itu, Mohd Khalil akan melantik seorang ADUN sebagai Ketua Menteri yang baharu dalam masa terdekat.

Ab Rauf berkata menerusi perjumpaan itu juga Mohd Khalil telah menasihatkan pihaknya supaya menghentikan segala kemelut politik yang berlaku di negeri ini.

"Saya bagi pihak (15) ADUN merakam ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama (Mohd Khalil) atas nasihat dan kebijaksanaan dalam menangani kemelut politik pentadbiran negeri Melaka," katanya.

Berhubung status keahlian parti dua ADUN yang menyokong gabungan BN itu, Muhammad Jailani pada sidang media sama berkata pada masa ini tiada perubahan keahliannya dalam PKR dan juga keahlian Norhizam dalam DAP.

"Saya masih lagi dengan PKR dan Norhizam dengan DAP, kami tidak berhasrat untuk keluar parti …tiada paksaan daripada BN sendiri untuk kami bergabung. Tiada hasrat (untuk menjadi ADUN Bebas) buat sementara waktu," katanya.

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan