Isnin, 25 Mei 2020
KEMELUT POLITIK
25/02/2020 09:13 AM

KUALA LUMPUR, 24 Feb -- Pada kira-kira 1 tengah hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri. Pada 7.30 malam, beliau dilantik sebagai perdana menteri interim.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas nasihat Dr Mahathir, membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik berkuat kuasa hari ini.

Banyak perkara lain turut berlaku, berpunca daripada kemelut politik yang berlaku sejak semalam di ibu negara dan Petaling Jaya di tengah-tengah desas-desus berhubung cubaan untuk membentuk kerajaan pakatan baharu untuk menggantikan Pakatan Harapan (PH).

Dr Mahathir turut meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu, satu daripada empat parti komponen PH, yang kemudiannya keluar daripada pakatan itu.

PKR, satu lagi parti komponen, mengadakan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat dan memecat Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin berhubung peranan mereka yang didakwa cuba menjalin kerjasama dengan parti pembangkang dan mengugat kestabilan PH.

Malah tatkala PKR mengumumkan pemecatan itu,  Azmin berkata beliau dan 10 lagi MP PKR telah meninggalkan parti itu bagi membentuk sebuah blok Bebas di Parlimen.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata beliau sebelum itu telah bertemu Dr Mahathir dan merayu kepada negarawan berusia 94 tahun itu untuk kekal sebagai perdana menteri dan tidak meletakkan jawatan.

Sebuah lagi parti komponen, DAP, turut mengadakan mesyuarat khas pemimpinnya dan mengumumkan parti itu mahu Dr Mahathir terus kekal sebagai perdana menteri.

Sentimen serupa disuarakan oleh Mohamad Sabu, presiden Amanah, yang merupakan satu lagi komponen PH. Beliau berkata Amanah menyokong Dr Mahathir dan PH.

Di seberang Laut China Selatan, sokongan kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri turut dizahirkan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketua menteri Sabah yang juga presiden Parti Warisan Sabah yang mesra PH.

Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut mendapat perkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan Dr Mahathir untuk menghadap petang ini, dan susulan itu Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, mengumumkan dalam kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan melantiknya sebagai perdana menteri interim.

Semalam menyaksikan parti-parti politik daripada kerajaan dan pembangkang mengadakan mesyuarat berasingan di tengah-tengah spekulasi berhubung kemungkinan pembentukan kerajaan pakatan baharu dengan rakan berbeza.

Peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu mengejutkan semua pihak berikutan sebelum ini beliau berulang kali menyatakan  mahu kekal sebagai PM sehingga selepas Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat APEC pada November.

Tanda awal kepada pengumuman dramatik hari ini bermula apabila mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat lepas dilaporkan berlangsung dalam suasana tegang berhubung janji peralihan kuasa.

Bagaimanapun, Dr Mahathir memberitahu sidang akhbar kemudiannya bahawa mesyuarat itu memutuskan bahawa beliau mempunyai kata putus berhubung bila akan meletak jawatan selepas mesyuarat APEC. 

Selepas Dr Mahathir meletak jawatan hari ini, beberapa menteri turut mengucapkan selamat tinggal di media sosial selepas berkuasa untuk tempoh kurang dua tahun.

Perkembangan politik itu turut memberi kesan terhadap harga saham, dengan Bursa Malaysia dilaporkan ditutup rendah hari ini.

-- BERNAMA


 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan