COVID-19

Dua laporan diterima, polis pantau pihak iklan penjualan vaksin

04/03/2021 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac  -- Dua laporan polis diterima berkaitan penipuan penjualan vaksin COVID-19, melibatkan kerugian bernilai RM285,499, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob.

Beliau berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis mengesan terdapat penularan informasi di media sosial berkenaan penjualan vaksin COVID-19 secara dalam talian, dan pihak pengendalian perkhidmatan jualan berkenaan telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan terdapatnya iklan itu.

“Namun polis tidak menolak kemungkinan wujudnya iklan-iklan palsu berkenaan penjualan vaksin itu pada masa akan datang,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Zainuddin berkata sebagaimana diumumkan kerajaan, pemberian vaksin COVID-19 dilaksanakan secara percuma kepada rakyat negara ini, justeru sebarang tawaran penjualan vaksin oleh mana-mana pihak merupakan tindakan tidak bertanggungjawab, selain berkemungkinan berunsurkan penipuan.

Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab, yang cuba mengambil kesempatan.

“Orang awam juga dinasihatkan sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan-arahan yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa, dalam memastikan maklumat tepat diperolehi berkaitan program vaksinasi ini,” kata Zainuddin.

Beliau berkata polis komited dalam melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengesan mahupun membanteras mana-mana pihak, yang cuba mengiklankan penjualan vaksin secara dalam talian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan