COVID-19

Labuan catat kadar vaksinasi COVID-19 tertinggi di negara ini

04/03/2021 03:19 PM

LABUAN, 4 Mac -- Kira-kira 76.45 peratus atau 1,789 daripada 2,340 anggota barisan hadapan di Wilayah Persekutuan Labuan telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat ini dengan bakinya dijangka menerima vaksin tersebut secara berperingkat hingga April.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan Rithuan Ismail berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Labuan yang dilancarkan pada 27 Feb lalu menerima sambutan memberangsangkan daripada petugas barisan hadapan dan juga ketua-ketua jabatan kerajaan.

“Kami tidak menyangka dapat melaksanakan program vaksinasi ini dengan cepat serta menjadi wilayah yang merekodkan penerima vaksin paling ramai berdasarkan nisbah setiap 100,000 orang di negara ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya program itu dilaksanakan di tiga pusat pemberian vaksin iaitu Klinik Kesihatan Membedai, Hospital Labuan dan Rumah Sakit Angkatan Tentera di Pangkalan  Udara Labuan. 

 Beliau juga berkata vaksinasi ke atas 450 petugas barisan hadapan di Hospital Labuan selesai hari ini.

Labuan menerima 4,680 dos vaksin Pfizer-BioNTech pada 26 Feb lalu untuk digunakan dalam fasa pertama program imunisasi tersebut di wilayah berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan