MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Eksport Orkid Malaysia Mampu Sumbang Rm4 Bilion Setahun Kepada Industri Florikultur

17/02/2024 08:58 PM

SEPANG, 17 Feb (Bernama) -- Hasil eksport orkid Malaysia mampu menyumbang RM4 bilion kepada industri florikultur di Malaysia kerana mendapat permintaan yang tinggi dari negara luar.

Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagian Pembangunan Industri Florikultur), Jabatan Pertanian Malaysia Mohamad Nizam Malik berkata bagaimanapun, 120 hektar tanah ladang diperlukan bagi mengusahakan tanaman orkid untuk memenuhi permintaan terhadap bunga itu terutamanya dari Dubai.

"Ketika ini, terdapat sebanyak 50 ladang orkid yang diusahakan oleh pengusaha atau pekebun tempatan dan telah membuahkan hasil di sini, namun kami menjangkakan lebih banyak ladang orkid akan diusahakan pada masa akan datang. 

"Sebagai contoh, jika kita hendak memenuhi permintaan Dubai yang agak tinggi, kita perlu menghantar sekurang-sekurangnya 50 kontena orkid setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelepasan Projek Rintis Eksport Kotak Hadiah Premium Orkid Mokara ke Dubai, di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini. 

Beliau berkata pihaknya turut menyasarkan pasaran di Dubai kerana ia merupakan destinasi pelancongan terkemuka dunia dengan jumlah pelancong yang tinggi setiap tahun.

"Sasaran kami untuk menyediakan orkid di hotel-hotal bertaraf tinggi bukan hanya untuk hiasan tetapi juga sebagai buah tangan kerana bunga orkid ini berestetika tinggi dan mereka menghargai keunikan serta kecantikannya,” katanya.

Selain Dubai, beliau berkata orkid tempatan ini juga telah mendapat permintaan di beberapa negeri di negara Timur Tengah itu termasuk dari Abu Dhabi dan Qatar, selain permintaan sedia seperti dari Singapura. 

Jabatan Pertanian dalam kenyataan sebelum ini mengatakan nilai ekonomi industri florikultur di Malaysia merupakan satu daripada penyumbang kepada nilai eksport negara yang mencatatkan sebanyak RM417.3 juta sepanjang 2021 dan nilai dagangan negara menerusi keuntungan industri itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding pencapaian 2020 berjumlah RM403 juta.

Sementara itu, Nizam berkata pengeksportan orkid dalam bentuk kotak hadiah premium berkenaan sempena Gulfood 2024 di Dubai untuk memberi peluang kepada pengeluar orkid memasarkan produk mereka dengan lebih mudah dan dapat mengurangkan kos pengeluaran.

Sebanyak 270 kotak hadiah premium diterbangkan ke Dubai hari ini dan satu majlis pelancaran Kotak Hadiah Premium Orkid sempena Festival Gulfood akan diadakan pada 21 Feb ini oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Lokman Hakim Ali.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan