MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

P.pinang Terima Penerbangan Sulung Flydubai Pada Tahun Baharu Cina

11/02/2024 02:30 PM

GEORGE TOWN, 11 Feb (Bernama) -- Pulau Pinang menerima penerbangan sulung Flydubai dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam, sekali gus menyediakan satu lagi pilihan kepada pelancong ke negeri ini dengan penerbangan terus, kata Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai. 

Beliau berkata ketibaan penerbangan itu pada hari pertama Tahun Baharu Cina adalah dialu-alukan, menandakan satu peristiwa penting dalam industri pelancongan Pulau Pinang.

''Flydubai merupakan syarikat penerbangan pertama dari UAE yang terbang terus ke Pulau Pinang dan ia juga adalah permulaan era baharu kepada ekonomi di negeri ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Penerbangan sulung dengan pesawat Boeing 737 MAX yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 3.03 petang diberikan sambutan tradisi semburan air, sebaik sahaja mendarat.

Wong berkata Flydubai menawarkan penerbangan terus setiap hari dari Dubai ke Pulau Pinang dengan persinggahan singkat di negeri ini untuk penerbangan seterusnya ke Langkawi, Kedah.

Syarikat penerbangan itu turut menawarkan pilihan perjalanan yang mudah untuk penumpang dari UAE dan menghubungkan penumpang dengan rangkaian penerbangan antarabangsanya termasuk ke Pulau Pinang, katanya.

"Sejak penubuhannya pada Jun 2009, Flydubai telah memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan perdagangan, pelancongan dan kebudayaan di seluruh rangkaian antarabangsanya yang semakin berkembang.

"Flydubai muncul sebagai syarikat penerbangan pertama yang mengendalikan penerbangan terus dari Dubai ke destinasi pelancongan popular, iaitu Pulau Pinang dan Langkawi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong," katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa telah kembali semula dengan penerbangan terus ke Pulau Pinang dan menyediakan perkhidmatan kepada pelancong dari pelbagai negara.

"Antara laluan penerbangan yang kembali ke Pulau Pinang pada masa ini adalah dari Guangzhou, Xiamen, Doha dan Bangkok," katanya.

Wong berkata ketika ini Pulau Pinang menerima penerbangan terus daripada 14 bandar antarabangsa dan pihaknya akan terus mengukuhkan komitmen bagi memperkukuh hubungan dengan destinasi global utama.

Selain itu, turut akan dilaksanakan adalah mengukuhkan status negeri itu sebagai destinasi pelancongan antarabangsa terkenal dan hab perniagaan, katanya.

"Pulau Pinang mengembalikan semula beberapa laluan penerbangan dan kami juga mengalu-alukan syarikat penerbangan berbeza menyediakan perkhidmatan penumpang ke destinasi di negeri ini.

“Ini menandakan lonjakan kami dalam menyambungkan kebolehcapaian Pulau Pinang dengan pelancong dan pengembara antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan