BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Tiga anak Johor berputih mata ditipu sindiket pekerjaan luar negara

19/01/2023 08:42 PM

PONTIAN, 19 Jan (Bernama) -- Tiga anak Johor yang berhasrat untuk bekerja di luar negara dengan gaji lumayan terpaksa berputih mata apabila ditipu satu sindiket dipercayai menyamar sebagai agensi pekerjaan dari China, yang menyebabkan mereka terkandas di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama setahun.

Ketiga-tiga mereka yang dikenali sebagai Jenny, 36, Jason, 25 dan Kelvin, 21, terpedaya dengan tawaran gaji lumayan sekitar RM8,000 sebulan sebagai pegawai khidmat pelanggan kasino dalam talian yang diiklankan menerusi aplikasi Telegram. 

Jenny yang sebelum ini bekerja sebagai kerani kilang berkata dia mengetahui tawaran kerja di Dubai itu melalui Kelvin.

"Kevin mengetahui iklan itu menerusi Telegram dan kami membuat permohonan pekerjaan, mengisi borang dan menghantarnya melalui Telegram.

"Kami bertolak ke Dubai pada Oktober 2021 dan setibanya di Dubai, kami dibawa ke sebuah banglo yang menjadi pusat panggilan dan kami 'dijaga' oleh tiga hingga empat individu,” katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Tanjung Piai di sini hari.

Jenny berkata mereka dibayar gaji sekitar RM2,000 untuk dua bulan pertama sahaja dan bukan RM8,000 seperti dijanjikan.

Wang itu dimasukkan ke dalam bank akaun keluarga mereka di Malaysia namun tidak mendapat gaji pada bulan seterusnya.

Susulan itu, mereka menyedari ditipu dan membuat keputusan untuk melarikan diri, katanya.

Jenny berkata sepanjang di Dubai mereka hanya diberi makan roti dan nasi pada tengah hari serta malam manakala berjaya melarikan diri dari banglo tersebut pada perayaan Krismas lepas.

"Ketika itu pekerja lain dan penyelia sindiket tiada di banglo cuma kami bertiga... kami bertindak keluar dan menaiki teksi ke Kedutaan Malaysia di Dubai. Kami seterusnya diselamatkan pihak kedutaan dan dibawa pulang ke tanah air pada 16 Jan lepas.

"Saya sangat gembira apabila dapat balik dan paling istimewa dapat meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga. Insiden ini menjadi pengajaran buat saya dan kawan-kawan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menasihatkan golongan belia supaya tidak terpengaruh dengan iklan pekerjaan yang tidak diketahui kesahihannya.

"Meskipun ini bukan perkara baharu, ia semakin berleluasa… jadi saya akan bawa perkara ini ke Parlimen, mungkin pihak kerajaan boleh memikirkan cara atau mekanisme untuk mengatasi masalah ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan