MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

MGTC: Malaysia lepasi jangkaan perdagangan, petunjuk perniagaan pada Ekspo 2020 Dubai

20/04/2022 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Malaysia melepasi jangkaan perdagangan dan petunjuk perniagaannya yang diraih pada Ekspo 2020 Dubai, sekali gus memberi keyakinan kepada industri mendapatkan rangsangan yang diperlukan untuk menetapkan semula perniagaan, menurut Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

Ketua Pegawai Eksekutif MGTC Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, ekspo dunia yang melabuhkan tirainya baru-baru ini telah menawarkan platform kukuh kepada pelbagai negara untuk merancakkan semula ekonomi selepas mengalami gangguan akibat pandemik global.

“Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa Malaysia meraih lebih RM70 bilion (US$16.5 bilion) potensi nilai perdagangan, pelaburan dan petunjuk perniagaan sepanjang ekspo selama enam bulan itu.

“Kita menerima 4,500 petunjuk perniagaan dan 130 perjanjian perkongsian ditandatangani. Ia melebihi sasaran kita antara RM8 bilion dan RM10 bilion bagi petunjuk perniagaan dan 20 Memorandum Persefahaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Shamsul Bahar berkata Malaysia telah menyusun semula strategi penyertaannya dalam Ekspo 2020 Dubai dengan membuka ruang kepada industri secara agresif untuk mengakses perdagangan global berikutan ekonomi negara yang semakin pulih.

“Ekspo berkenaan telah menunjukkan bahawa negara-negara berminat untuk bekerjasama dalam perdagangan dan perniagaan, malah syarikat kita diterima baik oleh pihak asing,” katanya.

Penyertaan Malaysia dalam ekspo itu diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, manakala MGTC merupakan agensi pelaksana.

Shamsul Bahar turut mengaitkan kejayaan itu dengan sokongan dan kerjasama kukuh kalangan pemimpin industri termasuk Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Petronas dan Serba Dinamik Holdings Bhd. 

Petunjuk perdagangan dan perniagaan itu merangkumi pelbagai sektor berdasarkan 26 program perniagaan mingguan di Pavilion Malaysia antaranya agrikomoditi, ekonomi digital, Industri 4.0, tenaga, kesihatan, pendidikan dan pelancongan, pertanian, teknologi dan inovasi.

Program itu diterajui dan disertai 21 kementerian, 70 agensi, lima kerajaan negeri dan kira-kira 400 syarikat Malaysia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan