COVID-19

Pemilik premis dibenar tentukan pemakaian pelitup muka

09/09/2022 11:02 AM

JOHOR BAHRU, 9 Sept (Bernama) -- Pemilik premis dalam bangunan di negeri ini dibenarkan untuk menentukan protokol pemakaian pelitup muka di premis mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon bagaimanapun berkata kerajaan negeri amat menggalakkan pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutama apabila berada di lokasi tumpuan ramai termasuk pasar malam, stadium, gedung beli-belah dan rumah ibadah. 

Beliau juga berkata individu yang bergejala, berisiko tinggi dan imuniti rendah serta ibu mengandung turut digalakkan untuk terus memakai pelitup muka bagi mengelakkan penularan jangkitan itu. 

"Kerajaan negeri akan terus membantu Kementerian Kesihatan dalam memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat. 

"Bagaimanapun, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka ataupun boleh memilih untuk memakai pelitup muka, namun orang ramai amat digalakkan memakai kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan, " katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ling berkata kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mengamalkan langkah pencegahan telah membantu menyumbang kepada penurunan kes COVID-19 serta menstabilkan sistem perkhidmatan kesihatan dengan kadar kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) yang rendah. 

Beliau berkata kadar penggunaan Katil Bukan Kritikal COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 21.6 peratus dengan 117 pesakit, manakala hanya tiga peratus dengan enam pesakit yang menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator), setakat Rabu lepas. 

"Selain itu, sebanyak 32 peratus bagi kadar penggunaan katil ICU dengan tujuh pesakit, " tambahnya yang turut memaklumkan kerajaan negeri menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan berkenaan penetapan pemakaian pelitup muka itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan