COVID-19

Kementerian Kesihatan pertimbang beli vaksin COVID-19 lawan varian Omicron - Khairy

07/09/2022 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan untuk membeli vaksin COVID-19 berasaskan varian khusus tertutama yang mampu melawan varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bagaimanapun, berkata kementerian belum membuat keputusan bentuk program imunisasi yang akan dilaksanakan sekiranya bercadang menawarkan vaksin itu.

“Kita akan buat keputusan berdasarkan kepada trend epidemiologi jangkitan sedia ada. Kita belum lagi buat keputusan sama ada kita akan menawarkan vaksin untuk semua atau hanya kepada yang berisiko tinggi sahaja.

“Sekarang ini kita melihat kepada satu program vaksinasi yang lebih tersasar dan bukan kepada semua,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) - Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022 di sini, hari ini.

Britain pada bulan lepas meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 berasaskan varian khusus dengan menggunakan vaksin yang dihasilkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Moderna, sebagai dos penggalak untuk golongan dewasa.

Sementara itu, Khairy berkata Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) Kementerian Kesihatan pada 3 Ogos lepas mengesyorkan pemberian dos penggalak kedua vaksin messenger RNA (mRNA) untuk wanita hamil atau menyusu.

Beliau berkata saranan itu juga selari dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut mengesyorkan pemberian dos penggalak kedua untuk wanita hamil.

Selain itu, Khairy berkata TWG juga mengesyorkan pemberian dos penggalak pertama untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun; vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak yang berumur enam bulan hingga lima tahun dan vaksinasi heterologous untuk dos penggalak kedua.

Beliau juga memaklumkan vaksin heterologous dengan vaksin mRNA atau vaksin vektor virus untuk dos penggalak kedua boleh diberikan kepada individu yang berisiko tinggi mendapat penyakit teruk akibat COVID-19.

Sementara itu, mengenai vaksin papilomavirus manusia (HPV), Khairy berkata kementerian bercadang memberi vaksinasi itu kepada pelajar perempuan yang terlepas suntikan HPV pada 2021 dan 2022.

Katanya, pada 2021, hanya 34,933 atau 12.7peratus pelajar perempuan Tingkatan 1 menerima dos pertama dan 31,708 atau 6.4 peratus menerima dos kedua.

Bagaimanapun, katanya, pada 2022, seramai 209,279 iaitu 98.2 peratus pelajar perempuan Tingkatan 1, menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin HPV dan seramai 206,042 atau 96.7 peratus sudah menerima dua dos vaksinasi tersebut.

Media melaporkan, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) mengumumkan anggaran lebih setengah juta remaja perempuan di sekolah menengah di negara ini terlepas suntikan HPV kerana penutupan sekolah semasa wabak COVID-19 dan pengalihan pembiayaan kepada program COVID-19.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan