COVID-19

Kes baharu COVID-19 turun 16.9 peratus minggu lepas - Dr Noor Hisham

05/09/2022 12:25 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Bilangan kes baharu COVID-19 turun sebanyak 16.9 peratus kepada 15,549 pada Minggu Epidemiologi ke-35 (ME 35/2022) dari 28 Ogos hingga 3 Sept lepas berbanding 18,715 kes pada ME 34/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tempoh sama, 47 kematian direkodkan, penurunan 21.7 peratus berbanding minggu sebelumnya. 

“Bilangan kes sembuh pada ME 35/2022 juga menurun sebanyak 20.9 peratus iaitu 25,037 kes kepada 19,813 kes. 

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 35/2022 adalah 31,333 iaitu penurunan sebanyak 13.4 peratus berbanding minggu sebelumnya,” kata beliau dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19, hari ini.

Kemasukan pesakit ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk untuk kategori pesakit 1 dan 2 pula menyaksikan penurunan sebanyak 9.4 peratus manakala pesakit kategori 3, 4 dan 5 berkurangan sebanyak 3.6 peratus peratus pada ME 35/2022.

Dr Noor Hisham berkata pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pada ME 35/2022 meningkat sebanyak satu peratus, katil bukan kritikal turun satu peratus manakala katil PKRC berkurangan dua peratus berbanding minggu sebelumnya. 

Selain itu, peratusan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat 0.2 peratus pada ME 35/2022 berbanding ME 34/2022.

Beliau berkata kes positif yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara turut menunjukkan pengurangan.

“Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 21.4 peratus, kes baharu yang menjalani pemantauan di rumah turun sebanyak 18.7 peratus manakala kes yang dirujuk CAC ke hospital berkurangan sebanyak 24.9 peratus,” katanya.

Katanya hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 101 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif COVID-19 dengan kadar 15.0 peratus manakala sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif COVID-19 adalah 1.6 peratus.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan