COVID-19

Bulan Sabit Merah Malaysia terima dana RM5 juta untuk bendung COVID-19

28/08/2022 05:58 PM

MELAKA, 28 Ogos (Bernama) -- Usaha membendung jangkitan COVID-19 terus diperhebatkan dengan pemberian dana bantuan vaksin dan dos penggalak bernilai RM5 juta oleh kerajaan Australia menerusi persatuan Palang Merah Australia kepada Bulan Sabit Merah (BSM) Malaysia. 

Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah (BSM) Malaysia Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata dana tersebut bertujuan membantu negara-negara terlibat dalam usaha membenteras wabak COVID-19 dan Malaysia memperolehnya hasil hubungan baik antara kedua-dua persatuan tersebut sejak sekian lama.

"Jadi Palang Merah Australia antara yang mendapat dana tersebut dan menyalurkannya kepada BSM Malaysia. Malah BSM turut menerima 10,000 dos vaksin pneumokokal untuk diberikan kepada individu yang memerlukan di negara ini. 

"Justeru jika BSM negeri berhasrat melakukan program pengagihan kedua tersebut di kawasan pendalaman, kepada warga emas, kanak-kanak atau golongan tercicir, mereka dialu-alukan berhubung dengan ibu pejabat BSM," katanya. 

Tunku Intan Safinaz yang merupakan Temenggong Kedah berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Melaka di Peringgit di sini hari ini.

Terdahulu beliau mendengar taklimat oleh Pengerusi BSM Negeri Melaka Datuk Ramli Mohd Ali dan berkenan menyerahkan kenderaan pacuan empat roda kepada BSM Melaka.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan semua kemudahan dan kelengkapan BSM Melaka dalam kesiapsiagaan mereka menghulurkan bantuan sekiranya berlaku bencana.

"Ini lawatan pertama saya ke BSM Melaka sejak dilantik pada 2018 dan saya melihat kemudahan bantuan seperti ambulans yang ada dapat disalurkan kepada masyarakat dengan baik semasa banjir,” katanya.

"Syabas saya ucapkan pada usaha keras mereka dan dengan adanya kenderaan pacuan empat roda yang disumbangkan pada hari ini, ia diharap BSM Melaka akan lebih pantas dalam menghulurkan bantuan," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan