BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
COVID-19

Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas

04/08/2022 05:32 PM

GEORGE TOWN, 4 Ogos (Bernama) -- Penjara Reman Pulau Pinang mencatatkan sifar kes positif COVID-19 dalam kalangan banduan sejak Jun tahun lepas ekoran kawalan ketat diambil pihak penjara bagi membendung wabak itu.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang Mohamad Jusoh Ismail berkata pihaknya menjalankan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi kemasukan baharu ke penjara antaranya kuarantin dan pemantauan awal dalam kalangan banduan.

"Bagi setiap banduan baharu yang akan ditempatkan di Penjara Reman Pulau Pinang, mereka akan dihantar ke Penjara Satelit Bukit Mertajam, dekat sini untuk dikuarantin terlebih dahulu sebelum dibawa ke sini (Penjara Reman Pulau Pinang).

"Selepas masuk ke Penjara Reman Pulau Pinang, mereka akan dikuarantin sekali lagi di sini bagi memastikan betul-betul bebas daripada COVID-19 sebelum ditempatkan dalam sel bersama banduan lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Maal Hijrah melibatkan penghuni Penjara Reman Pulau Pinang, di sini hari ini.

Sebanyak 340 orang banduan beragama Islam mengambil bahagian dalam majlis sambutan Maal Hijrah yang diserikan dengan persembahan nasyid oleh banduan selain daripada ceramah oleh penceramah jemputan Datuk Dr. Danial Zainal Abidin.

Mohamad Jusoh berkata antara langkah lain diambil pihak penjara ialah mengasingkan banduan yang mempunyai simptom ke bangunan khas untuk mengelakkan sebarang jangkitan manakala penghuni yang masih belum divaksinasi ditempatkan di sel berasingan daripada mereka yang telah divaksinasi.

Beliau berkata ketika ini 98 peratus daripada 1,058 banduan di penjara itu telah menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Cansino sejak tahun lepas manakala baki dua peratus lagi belum divaksinasi kerana mereka baharu saja masuk ke penjara itu.

"Kami sentiasa beri perkembangan terkini dan laporan kepada Kementerian Kesihatan berhubung kemasukan banduan baharu ke penjara ini supaya tindakan segera dapat diambil untuk memudahkan pihak kesihatan memberikan suntikan vaksin COVID-19," katanya.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan