COVID-19

Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia

18/07/2022 07:30 PM

DHAKA, 18 Julai (Bernama) -- Vaksin COVID-19 buatan Bangladesh telah mendapat kelulusan bagi fasa pertama ujian ke atas manusia, lapor Xinhua.

Vaksin Bangavax, yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal tempatan Globe Biotech, menerima kelulusan daripada Direktorat Jeneral Pentadbiran Perubatan di bawah Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga pada Ahad selepas pihak berkuasa berkaitan menyemak semua ujian klinikal yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

"Kami telah mendapat kelulusan untuk ujian klinikal fasa pertama Bangavax," kata pegawai kanan Globe Biotech, Mohammad Mohiuddin kepada pemberita.

Beliau berkata ujian vaksin COVID-19 ke atas 60 sukarelawan yang sihat tubuh badan akan dijalankan di hospital Universiti Perubatan Sheikh Mujib Bangabandhu di Dhaka.

Pada November lepas, Bangavax, vaksin satu dos COVID-19, mendapat kelulusan daripada Majlis Penyelidikan Perubatan Bangladesh untuk diuji ke atas 64 peserta dewasa yang sihat.

Sebelum ini, Globe Biotech memohon kelulusan untuk menjalankan ujian terhadap manusia pada 1 Nov lepas dan ujian ke atas monyet sebelum ini mendapati vaksin itu memberi "keputusan yang memberangsangkan".

Vaksin itu dilaporkan boleh disimpan pada suhu 4 darjah Celsius untuk tempoh sebulan dan mampu bertahan hingga enam bulan jika disimpan pada suhu -20 darjah Celsius.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan