COVID-19

Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK

27/06/2022 05:18 PM

KOTA BHARU, 27 Jun (Bernama) -- Umat Islam di Kelantan dibenarkan melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini tanpa sebarang prosedur operasi standard (SOP) tambahan, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata sehubungan itu ibadah korban boleh dilakukan di mana-mana tanpa syarat tambahan seperti dalam tempoh pandemik COVID-19 sebelum ini.

"Saya rasa tidak menjadi masalah (melaksanakan ibadah korban) setakat ini, jika dilihat kes positif COVID-19 di negeri juga terkawal dan menurun.

"Ibadah korban di kampung juga tiada masalah, mahu buat di mana-mana kita tidak halang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Wakaf MAIK di sini hari ini.

Mengenai Bulan Wakaf MAIK, Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata program tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman umat Islam berkaitan kepentingan ibadah tersebut.

"Kita akan mempromosikan produk wakaf MAIK seperti wakaf hartanah, wakaf kesihatan, wakaf pendidikan dan lain-lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Mohamad Rizam berkata MAIK tidak melantik mana-mana individu mahupun syarikat dalam urusan mengutip tabung dan sumbangan menggunakan nama agensi itu.

"Kita tidak mempunyai ejen dalam urusan ini, lantikan individu ataupun syarikat tidak pernah dipraktikkan oleh kami (MAIK). Sekiranya masyarakat mahu memberi sumbangan, boleh terus kepada saluran yang disediakan," katanya.

Beliau berkata tindakan akan diambil sekiranya terdapat individu menggunakan nama MAIK untuk urusan kutipan tabung dan sumbangan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan