COVID-19

KKM tidak cadang lanjut vaksinasi PICKids

21/05/2022 12:53 PM

BAGAN SERAI, 21 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berhasrat untuk melanjutkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dijadualkan berakhir hujung bulan ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata KKM telah memberi masa yang cukup kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi secara percuma.

Sekiranya selepas ini ibu bapa mahu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi anak mereka, katanya, mereka perlu ke klinik swasta dengan bayaran tertentu.

“Setakat ini kita tidak berhasrat untuk buat (lanjutan). Tempoh yang sepatutnya berakhir pada 15 Mei yang lalu telah dilanjutkan hingga 31 Mei ini, adalah disebabkan memberi peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan suntikan vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir di sini hari ini.

Dr Noor Azmi berkata jumlah harian kanak-kanak yang mengambil vaksin menunjukkan peningkatan selepas Aidilfitri mulai 17 Mei lepas iaitu 1981 orang pada 16 Mei, 17 Mei (2798), 18 Mei (2806), 19 Mei (3747) dan semalam ialah sebanyak 7,137 orang.

Jelasnya Sarawak mencatatkan peratus tertinggi iaitu 87.4 peratus kanak-kanak yang telah mengambil suntikan vaksin, diikuti Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Labuan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan