COVID-19

Kejayaan Malaysia masuk fasa peralihan ke endemik turut dibantu kempen COVID-19 RTM

19/05/2022 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Kejayaan Malaysia melawan pandemik COVID-19 sehingga  berupaya memasuki fasa peralihan ke endemik turut disumbang oleh keberkesanan kempen yang disiarkan melalui pelbagai saluran seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kerana kempen yang diadakan secara agresif itu, rakyat kini sudah dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa tanpa perlu lagi berasa bimbang. 

“Kalau kita pergi ke kawasan-kawasan bandar sekarang, rakyat dilihat sudah tidak berasa takut. Sebab apa, kerana kita (Malaysia) telah menang COVID-19 dan kerana kempen kita di RTM dan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berjaya. 

“Oleh itu, saya ucapkan tahniah kepada semua warga RTM kerana kita telah berjaya melawan satu ancaman negara yang cukup bahaya dan rakyat mendengar dan sanggup bekerjasama dengan kita (kerajaan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra Menteri K-KOMM bersama warga Jabatan Penyiaran Malaysia yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Che Roslan Che Daud, di sini hari ini.

Sementara itu, Che Roslan mengingatkan warga RTM supaya menghayati Aspirasi Keluarga Malaysia yang melibatkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam menjalankan tugas.

Beliau berkata warga jabatan itu juga perlu memperkukuhkan integiriti bagi menghindarkan diri daripada terjebak dengan perkara tidak diingini ketika menjalankan amanah.

“Warga RTM perlu memperkukuh dalaman mereka supaya tidak terjebak dengan perkara negatif seperti penyelewengan. Perkara ini perlu diperkukuh di semua peringkat kerana RTM banyak berurusan dengan pihak luar seperti penajaan, rundingan untuk masa siaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan dan Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Penyiaran Malaysia di Angkasapuri di sini hari ini.

Che Roslan juga mengajak warga RTM memperbaiki sistem komunikasi antara pelbagai unit dan bahagian supaya peranan menyebarkan maklumat kepada orang ramai dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan