COVID-19

Tiada keperluan bubar Parlimen, fokus pemulihan pasca COVID-19 - Takiyuddin

07/05/2022 03:36 PM

KOTA BHARU, 7 Mei (Bernama) -- Tidak ada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan memandangkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bergerak dengan teratur mengikut Perlembagaan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata ketika ini kerajaan yang ada perlu menyelesaikan beberapa tugas terutamanya melibatkan fasa pemulihan pasca COVID-19.

Beliau berkata secara umum tempoh penggal PRU14 juga masih berbaki sehingga Julai 2023. 

“Pemulihan ini dari segi kesihatan, ekonomi, sosial dan sebagainya, jadi perlu diberi peluang kepada kerajaan yang sedang berjalan untuk menyelesaikan pasca pemulihan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Kampung Sireh, di sini hari ini.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata PAS sedang memperkuatkan parti tersebut menerusi tambahan cawangan dan ahli.

“Setiap bulan PAS pusat ada mesyuarat bulanan dan kita menerima sebanyak 2,000 ahli baharu dan cawangan baharu.

“Kita ada 197 kawasan di seluruh negara dan saya sudah mengarahkan supaya ditambah lagi,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan