BERITA COVID–19   Kluster pendidikan cetus peningkatan kes COVID-19 di Kelantan – Dr Zaini | 50 peratus populasi dewasa telah terima dos penggalak | COVID: 5,522 kes baharu dilaporkan Jumaat - Dr Noor Hisham | Indonesia laksana isolasi lima hari di rumah untuk kes Omicron | Buat ujian kendiri COVID-19 sebelum, selepas balik bercuti - Pakar | 
COVID-19

Belum jelas varian Omicron mudah berjangkiti, sebabkan gejala lebih teruk - WHO

29/11/2021 02:37 PM

GENEVA, 29 Nov -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad berkata masih belum jelas sama ada varian Omicron COVID-19 lebih mudah berjangkit, atau menyebabkan gejala penyakit yang lebih teruk berbanding varian lain termasuk Delta, lapor Xinhua.

WHO berkata kedua-dua perkara itu masih belum dipastikan meskipun data awal menujukkan terdapat peningkatan kadar kemasukan ke hospital di Afrika Selatan akibat varian itu.

Pertubuhan itu turut mengesahkan pada masa ini tiada maklumat untuk mengesyorkan simptom yang dikaitkan dengan Omicron adalah berbeza daripada simptom varian lain, kerana ia mengambil masa beberapa hari hingga beberapa minggu untuk diketahui.

Semua varian COVID-19, termasuk varian Delta yang kini dominan di seluruh dunia, boleh menyebabkan penyakit atau kematian yang teruk, khususnya bagi individu yang paling terdedah, dan oleh itu pencegahan adalah sangat penting.

Bagaimanapun, WHO berkata bukti awal menunjukkan mungkin terdapat peningkatan risiko jangkitan semula dengan Omicron, tetapi maklumat adalah terhad. Maklumat terperinci mengenai perkara ini akan tersedia dalam beberapa hari dan minggu lagi.

Kenyataan itu menyebut bahawa ujian PCR semasa dapat mengesan Omicron, sementara kajian lanjut masih diteruskan untuk memahami bagaimana varian Omicron akan memberi kesan kepada vaksin dan rawatan COVID-19 sedia ada.

WHO pada Jumaat mengklasifikasikan varian terbaharu virus SARS-CoV-2 B.1.1.529, kini dengan nama Omicron, sebagai "Variant of Concern" (VOC).

Ia juga mengesyorkan penyiasatan lapangan dan penilaian makmal untuk lebih memahami potensi varian baharu itu dan kesannya terhadap epidemiologi COVID-19, keberkesanan langkah kesihatan awam dan sosial serta peneutralan antibodi.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan