BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
COVID-19

Kes pertama positif COVID-19 VTL Malaysia-Singapura dikesan - Khairy

29/11/2021 01:05 PM

SHAH ALAM, 29 Nov  -- Satu kes positif COVID-19 dikesan di pintu masuk Malaysia pada hari pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata maklumat itu diterima pagi tadi daripada pintu masuk antarabangsa Tambak Johor, iaitu satu kes positif dari ujian RTK-Antigen yang dikesan ketika ujian saringan semasa ketibaan. 

“Perkara ini sedang disemak melalui ujian pengesahan secara RT-PCR. Kita hendak uji melalui RT-PCR bagi mengesahkan keputusan ujian yang dibuat melalui RTK-Antigen,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas COVID-19 Institut Kesihatan Negara di sini hari ini.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru kini sedang membuat penilaian risiko terhadap penumpang bas yang bersama individu dikesan positif tersebut, sama ada mereka diperlukan menjalani kuarantin dan sebagainya.

“Walaupun ada satu kes saya tidak menganggap ini sebagai satu yang boleh menggagalkan VTL ini sebaliknya adalah satu contoh bagaimana ujian saringan pra-ketibaan  dan saringan semasa ketibaan serta semua adalah langkah pencegahan perlu kita adakan. Bukan bermaksud kita kena batalkan VTL kerana satu kes (positif).

“Akan ada kes-kes positif, tapi yang penting adalah dari segi keupayaan dan keperluan diagnosis kita serta penilaian risiko yang dibuat PKD apabila kes seperti ini berlaku,” katanya.

Khairy berkata hari ini adalah hari penting kepada Malaysia dan Singapura, jiran paling hampir kepada kedua-dua negara untuk membuka sempadan dengan selamat.

“Petang nanti apabila kita dah ada maklumat lanjut, kita akan keluarkan kenyataan mengenai status VTL yang bermula hari ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan