COVID-19

Tambak Johor yang suram akibat COVID-19 perlahan-lahan sedang 'dirancakkan'

29/11/2021 01:01 PM

SINGAPURA, 29 Nov -- Pernah dianggap sebagai antara lintasan sempadan paling sibuk di dunia, laluan sempadan Johor-Singapura, atau Tambak Johor, yang ditutup sejak tahun lepas kini dibuka dengan rasminya hari ini dengan pelancaran Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) sempadan darat.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong.

Tambak Johor yang berusia 97 tahun itu ditutup kepada kira-kira 400,000 pengguna harian sejak pertengahan Mac 2020 bagi menangani penularan virus COVID-19 merentasi sempadan.

Ismail Sabri melakukan perjalanan bersejarah hari ini dengan melintasi Tambak sejauh satu kilometer itu untuk memasuki Singapura, sebelum beliau berama dengan delegasinya disambut oleh Lee yang diiringi oleh empat menteri kabinet.

Majlis pelancaran VTL itu berlangsung di Woodlands Checkpoint dengan semua yang hadir memakai baju batik.

Ismail Sabri diiringi oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, dan pegawai-pegawai kanan.

Sementara itu Lee pula diiringi oleh Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Singapura Teo Chee Hean, Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong; serta Menteri Pengangkutan dan Menteri bertanggungjawab Hubungan Perdagangan, S Iswaran.

Semasa mengumumkan skim VTL darat pada 24 Nov lepas, pejabat Perdana Menteri Malaysia berkata peringkat awal VTL akan dilaksanakan terhad kepada pengangkutan bas, dengan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara.

Lain-lain bentuk pengangkutan darat akan dibenarkan secara berperingkat dengan kuota harian ditingkatkan secara mingguan.

Perkhidmatan bas untuk VTL darat ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral sebagai tempat mengambil dan menurunkan penumpang di sebelah Malaysia, manakala di Singapura ia ditetapkan di Queen Street Terminal.

Pengguna yang dibenarkan menyertai skim ini adalah warga Malaysia, Singapura, dan pemastautin serta pemilik Pas Jangka Panjang Singapura dan Malaysia.

VTL sempadan darat darat dilancarkan serentak dengan dengan VTL udara hari ini.

VTL antara Lapangan Terbang Changi Airport dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur diumumkan pada 8 Nov.

Kadar vaksinasi penduduk dewasa Malaysia dan Singapura telah mencapai lebih 95 peratus dan kadar vaksinasi yang tinggi ini memberikan peluang kepada kedua-dua negara untuk membuka semula sempadan negara secara beransur, selamat, sistematik, dan mampan.

Kini Tambak Johor yang "ditidurkan berbulan lamanya”, perlahan-lahan sedang dibangkitkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan