BERITA COVID–19   COVID: Kes baharu di Sarawak kembali dua digit | Varian Omicron: Jepun sekat ketibaan pelancong asing | Belum jelas varian Omicron mudah berjangkiti, sebabkan gejala lebih teruk - WHO | Kes pertama positif COVID-19 VTL Malaysia-Singapura dikesan - Khairy | Tambak Johor yang suram akibat COVID-19 perlahan-lahan sedang 'dirancakkan' | 
COVID-19

Teruja dapat melancong ke P.Pinang selepas rentas negeri dibenarkan

17/10/2021 05:22 PM

GEORGE TOWN, 17 Okt -- Lokasi tarikan pelancong di Pulau Pinang semakin rancak dengan kehadiran pelancong domestik, seminggu selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan.

Huda Nabilah, 22, dan suaminya Mohd Iqmal Ibrahim, 27, berkata walaupun hanya sehari berada di Pulau Pinang, beliau berasa lega dan teruja dapat keluar dari Kuala Lumpur setelah hampir setahun tidak dapat berbuat demikian.

“Saya juga senang melihat negeri ini melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang tepat bagi memastikan pelancong seperti kami sentiasa diingatkan mengenai keselamatan dan kesihatan bagi mengelak jangkitan COVID-19,” katanya yang bekerja sebagai penyelia kepada Bernama hari ini.

Seorang kerani dari Selangor Razidah Abdul Raoh, 35, berkata kunjungannya selama empat hari di Pulau Pinang amat menyenangkan dan beliau berasa gembira dapat merentas negeri.

“Walaupun ada beberapa tempat yang saya dan rakan rancang untuk pergi telah ditutup, secara keseluruhannya pengalaman perjalanan ini sangat indah,” katanya yang tidak melepaskan peluang bergambar dengan rakannya di Lebuh Armenian di sini.

Terdahulu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata walaupun pelancong semakin ramai di lokasi-lokasi tarikan pelancong, keadaan itu masih pada tahap terurus dan terkawal, bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi.

Beliau berkata sementara sektor pelancongan di Pulau Pinang berada pada fasa pemulihan, kerajaan negeri masih berusaha untuk mempromosikan pelancongan bertanggungjawab, satu kempen inisiatif kerajaan negeri bagi memberi kesedaran dalam kalangan pelancong yang mengunjungi Pulau Pinang untuk mengamalkan SOP dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.

“Sementara itu, kerajaan negeri juga merancang untuk memperkenalkan lebih banyak pakej pelancongan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini apabila kami menjangkakan akan menerima kedatangan pelancong dari luar Malaysia menjelang tahun depan,” katanya.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan