COVID-19

RMKe-12 perlu galak bentuk baharu pekerjaan, firma inovatif, pemula niaga bagi graduan -- Ahli Ekonomi

17/10/2021 10:24 AM

Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 17 Okt -- Malaysia, seperti kebanyakan negara lain, turut terkesan akibat daripada pandemik COVID-19. Ini dibuktikan menerusi peningkatan kadar pengangguran yang melonjak sehingga 4.5 peratus pada 2020 daripada 3.3 peratus pada 2019.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan Statistik Graduan 2020 menunjukkan bilangan graduan yang menganggur meningkat kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 orang pada 2019.

Bagaimanapun, sisi positifnya adalah ekonomi gig telah muncul sebagai satu peluang baharu, terutamanya bagi graduan yang baru menamatkan pengajian, untuk bersaing mendapatkan pekerjaan yang tersedia bukan hanya di dalam negara tetapi juga menerusi platform antarabangsa. 

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) 2021-2025 yang dibentangkan baru-baru ini kerajaan memberi jaminan ia akan mewujudkan satu ekosistem yang menyokong pembangunan ekonomi gig bagi menggalakkan orang ramai untuk mengambil kesempatan sepenuhnya daripada peluang ini. 

Bagi menambah baik situasi, profesor Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Geoffrey Williams berpendapat beberapa inisiatif boleh dilakukan dalam RMKe-12 termasuklah menggalakkan bentuk pekerjaan baharu, syarikat inovatif baharu, pemula niaga bagi graduan dan pengalaman benar-benar baharu bagi pekerjaan pasca krisis COVID-19.  

“Ini bermakna meliberaliasikan pasaran; memberi galakan kepada usahawan; membukakan peluang; memudahkan urusan perusahaan mikro, kecil dan sederhana; dan menggalakkan pekerjaan yang dibayar dengan baik dengan keseimbangan kerja dan kehidupan yang baik dan fleksibiliti serta jaminan jangka panjang bagi masa depan pekerjaan yang sama sekali baharu,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi baru-baru ini. 

Selain itu, katanya, pencen sosial dan insurans sosial dengan bantuan daripada kerajaan dan syarikat boleh ditambah untuk melindungi kebajikan pekerja gig. 

Apabila ditanya apa yang perlu ditumpukan kerajaan semasa mewujudkan ekosistem seperti yang dinyatakan dalam RMKe-12, Williams berkata mustahak untuk tidak membiarkan trend pengangguran dan tidak mempunyai pekerjaan menjadi suatu kebiasaan.

Mengambil contoh Eropah dan Amerika Syarikat pada era 1980-an, beliau berkata penggangguran telah menjadi satu masalah berstruktur selama berdekad-dekad. 

“Kita mesti mengelakkan perkara ini daripada berlaku, kerana kita boleh lihat bahawa ia bukanlah disebabkan graduan kurang kemahiran atau tidak ada kemahuan untuk bekerja, tetapi ia lebih kepada terlalu sedikit pekerjaan yang baik dalam firma-firma yang ada sekarang,” katanya.

Meskipun kepentingan ekonomi gig telah diberi penekanan dalam RMKe-12, satu daripada kebimbangan utama adalah ekonomi gig di Malaysia sering dikaitkan dengan ‘pekerjaan berkelas rendah’ seperti rakan penghantar dan pemandu e-hailing yang sentiasa bekerja dalam persekitaran kurang perlindungan kebajikan yang sewajarnya. 

Bagi mengelakkan pekerja gig, terutamanya graduan yang baru menamatkan pengajian, daripada tergelincir ke dalam ‘perangkap pekerjaan tokokan nilai rendah’, William berpandangan kerajaan perlu menyediakan persekitaran yang baik, telus dan menyokong dengan kurang campur tangan. 

Beliau berkata undang-undang juga perlu disemak semula bagi memastikan pekerja gig dilindungi dan mempunyai hak, terutamanya untuk menerima bayaran dan dibayar dengan baik. 

"Pekerjaan ekonomi gig boleh menjadi satu pilihan berdaya maju, memberdaya dan fleksibel, jadi kerangka undang-undang yang tepat dan pilihan proses yang wajar perlu ada,” katanya.

Menurutnya, perlu juga ada skim ombudsman untuk membantu menjadikan penguatkuasaan lebih mudah, malahan dengan tuntutan dalam talian. 

“Kita perlu menghentikan amalan syarikat yang tidak bertanggungjawab menggunakan pekerja ekonomi gig untuk mengelak membayar gaji minimum dan manfaat, dan kita juga perlu menghentikan kontrak sifar-jam eksklusif yang menjadi kekangan bagi pekerja ekonomi gig.  

“Individu mesti bebas untuk bekerja dengan pelbagai syarikat agar mereka boleh mendapat manfaat daripada sesiapa juga yang boleh menyediakan kepada mereka,” katanya sambil menambah undang-undang juga perlu dipermudahkan agar pekerja gig boleh mendaftar sebagai perusahaan dan menyediakan kontrak yang boleh dilaksanakan, dan bukan hanya sekadar perjanjian templat dengan syarikat besar.  

 

Menggalakkan pekerjaan gig bernilai tinggi 

 

Sambil mengakui bahawa pekerjaan dalam ekonomi gig sering dikaitkan dengan pekerjaan berkemahiran rendah dan berpendapatan rendah seperti rakan penghantar dan pemandu e-hailing, Williams berkata orang ramai tidak sewajarnya berpandangan sedemikian.

Menurutnya pada masa ini, profesional bebas sering menubuhkan perusahaan mikro melalui platform dalam talian untuk menyediakan perkhidmatan dalam bidang seperti reka bentuk dan penjenamaan, pemasaran digital dan e-dagang, penulis bebas dan pencipta kandungan, pembantu maya dan sokongan profesional, latihan dan bimbingan dalam talian, serta pembangunan dan pengekodan web.

“Malah, profesional seperti peguam dan akauntan pada masa ini menawarkan perkhidmatan melalui platform dalam talian, dan ia dipercayai dan menghasilkan pulangan yang menguntungkan,” katanya.

Bagi menggalakkan pekerjaan gig yang bernilai tinggi di negara ini, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menerajui program Perantis Berpendapatan Tinggi eRezeki pada 2016 bagi meneroka peluang bekerja bebas dalam segmen digital.

Program perintis selama enam bulan yang berakhir pada Disember 2016 itu telah melatih dan memberi bimbingan kepada 658 peserta yang berjaya meraih pendapatan terkumpul berjumlah RM2.9 juta.

Antara pekerjaan dan tugasan yang dilakukan oleh pekerja digital bebas adalah pengaturcaraan, reka bentuk grafik, analisis data, penulisan kandungan, pembaca pruf, penterjemahan dan transkripsi. Pekerjaan ini pada kebiasaannya bernilai tinggi, sekali gus memerlukan kelayakan yang relevan.

Projek perintis itu kemudiannya ditambah baik sebagai program Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) pada 2018, dengan sasaran memperkasa bakat tempatan terutamanya siswazah menganggur dan tidak digunakan sepenuhnya untuk menjadi pekerja digital bebas dengan memanfaatkan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan mereka dari segi mendapat pekerjaan dan bekerja di pasaran global.

Usaha ini akan diteruskan dalam RMKe-12 bagi melatih bakat tempatan mengenai kaedah menjadi pekerja digital bebas dengan menyediakan peluang yang relevan untuk meningkatkan keupayaan dan kualiti pekerja digital bebas di Malaysia dalam pasaran dunia.

Sementara itu, program latihan bagi menambah kemahiran dan melatih semula akan disediakan untuk meningkatkan laluan kerjaya kepada pekerja gig di platform yang berasaskan lokasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan