COVID-19

Polis tingkat pemantauan kesan kehadiran pelancong tidak vaksin

18/10/2021 05:34 PM

KUALA BERANG, 16 Okt -- Polis Terengganu akan meningkatkan pemantauan di lokasi pelancongan bagi mengesan kehadiran pengunjung luar yang masih belum lengkap divaksinasi ke negeri ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata ia bagi mengelak risiko peningkatan kes COVID-19 dari luar selepas aktiviti merentas negeri dibenarkan tanpa sekatan sejak 11 Okt lepas.

"Terengganu dah capai kadar vaksinasi lebih 90 peratus populasi dewasa. Jadi kita sudah boleh kurangkan tumpuan pada pematuhan SOP atau pergerakan dalam kalangan rakyat negeri ini.

"Kebimbangan kita dan masyarakat setempat sekarang ialah pelancong dari luar yang belum lengkap divaksin. Oleh itu, kita akan lakukan pemeriksaan secara berterusan bagi mengesan individu-individu ini di lokasi seperti Tasik Kenyir, pulau-pulau dan taman rekreasi awam," katanya selepas melakukan pemantauan SOP pelancongan di Tasik Kenyir, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC Norhalid Kimi.

Dalam pada itu, Rohaimi berkata aliran trafik di negeri ini masih terkawal dan tidak berlaku kesesakan teruk walaupun terdapat pertambahan kemasukan kenderaan yang ketara iaitu daripada 15,000 kepada 19,000 buah sehari pada hujung minggu selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Sehubungan itu pihaknya telah menubuhkan pasukan pemantauan khas terhadap pematuhan SOP bagi membuat pemeriksaan secara rambang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

"Berdasarkan pemantauan, tidak ada pergerakan masuk serentak atau mengejut di Terengganu selepas semua Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan ditutup dan aktiviti rentas negeri dibenarkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan