BERITA COVID–19   Penularan COVID-19 negara terus catat trend penurunan - KP Kesihatan | COVID: Jumlah kes baharu di Sarawak bawah 1,000 untuk tiga hari berturut-turut | PKPD di Pos Betau, Pahang mulai rabu ini - MKN | Kerajaan wajar tambah jumlah bantuan khas COVID - senator | COVID: 5,434 kes hari ini, kes harian kekal trend penurunan - KP Kesihatan | 
COVID-19

COVID: Negara terus rekod kes sembuh melebihi kes baharu

20/09/2021 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept -- Jumlah harian pesakit yang sembuh daripada COVID-19 di seluruh negara terus mengatasi angka jangkitan baharu apabila 16,814 kes pulih dilaporkan berbanding 14,345 kes baharu setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak tersebut kini seramai 1,880,736 orang.

Beliau berkata terdapat 1,167 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 906 kes disahkan positif COVID-19 manakala 261 kes lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

"Sebanyak 636 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 407 kes positif, manakala 229 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, 212 kes atau 1.5 peratus adalah kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan), manakala baki 14,133 kes atau 98.5 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu juga, 43 adalah kes import melibatkan 27 warganegara dan 16 rakyat asing manakala 14,302 kes pula melibatkan penularan dalam negara iaitu 13,072 warganegara dan 1,230 rakyat asing.

Selain itu, beliau berkata 23 kluster baharu dikesan dengan 13 daripadanya berkaitan tempat kerja, lapan berkaitan penularan dalam komuniti, dan masing-masing satu kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi serta import.

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah 0.92, manakala mengikut negeri, Pahang mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.06, diikuti Sarawak (1.04), Perak dan Terengganu (1.02) serta Johor dan Kelantan (1.0).

"Semua negeri lain mencatatkan RT di bawah 1.0 iaitu Pulau Pinang (0.97), Perlis (0.95), Putrajaya (0.93), Sabah (0.91), Kedah dan Melaka (0.89), Negeri Sembilan (0.85), Selangor (0.83), Kuala Lumpur (0.82) dan Labuan (sifar)," katanya.

Data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan di laman Github dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my tengah malam ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata trend peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak (0 - 18 tahun) di Malaysia adalah membimbangkan, malah statistik tahun ini sehingga semalam merekodkan 67 kematian berbanding enam kematian pada tahun lepas akibat COVID-19.

"Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya mendaftarkan anak-anak mereka yang layak menerusi institusi-institusi pendidikan masing-masing dan melalui aplikasi MySejahtera dengan kadar segera," katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan