BERITA COVID–19   PKPD di Pos Betau, Pahang mulai rabu ini - MKN | Kerajaan wajar tambah jumlah bantuan khas COVID - senator | COVID: 5,434 kes hari ini, kes harian kekal trend penurunan - KP Kesihatan | KKM cadang bersemuka dengan kumpulan antivaksin | COVID: 93.8 peratus populasi dewasa Malaysia kini lengkap divaksin | 
COVID-19

COVID: Kematian harian tertinggi di Sarawak semalam bukan situasi sebenar - Uggah

20/09/2021 07:49 PM

KUCHING, 20 Sept -- Jumlah kematian harian tertinggi sebanyak 20 kes yang diumumkan di Sarawak semalam melibatkan kes tertunggak yang lewat dilaporkan berikutan beberapa faktor, dan bukannya menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata daripada 20 kematian yang dilaporkan itu, 11 daripadanya berlaku pada 17 Sept, empat kematian (18 Sept), dua kematian (15 Sept) dan masing-masing satu kematian pada 6, 7 dan 16 Sept.

Backlog atau kelewatan dalam melaporkan kematian itu adalah kerana pihak hospital perlu melakukan bedah siasat untuk memastikan dan mengetahui sama ada ia berpunca daripada COVID-19 atau tidak,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam COVID-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Uggah berkata Sarawak mengatur langkah lebih agresif dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai COVID-19 menjelang peralihan ke fasa endemik yang dijangkakan selewatnya-lewatnya hujung tahun ini.

Beliau berkata satu Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam COVID-19 diketuai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersama agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penerangan dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah ditubuhkan untuk merealisasikan hasrat itu.

Uggah berkata pendekatan yang lebih efektif dan sistematik seperti pendidikan kesihatan awam dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan dilaksanakan supaya rakyat memahami keadaan sekarang dan bagaimana mereka boleh menyesuaikan diri dengan norma baharu di fasa endemik kelak.

“Sekarang kita berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), maklumat yang tepat mesti sampai kepada semua lapisan masyarakat. Justeru, jawatankuasa ini akan memastikan semua rancangan yang diatur akan dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Berhubung pemberian vaksin dos tunggal CanSino di kawasan pedalaman Sarawak, Uggah berkata bekalan vaksin itu akan tiba esok dan lusa di Kuching, dan seterusnya akan dihantar ke kawasan-kawasan yang terlibat. 

Vaksin berkenaan sesuai untuk program imunisasi COVID-19 di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi terutamanya dalam kalangan masyarakat Penan di negeri itu.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan