BERITA COVID–19   PKPD di Pos Betau, Pahang mulai rabu ini - MKN | Kerajaan wajar tambah jumlah bantuan khas COVID - senator | COVID: 5,434 kes hari ini, kes harian kekal trend penurunan - KP Kesihatan | KKM cadang bersemuka dengan kumpulan antivaksin | COVID: 93.8 peratus populasi dewasa Malaysia kini lengkap divaksin | 
COVID-19

PICK Remaja: Kebanyakan pelajar sambut baik

20/09/2021 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept -- Beberapa negeri sudah mula melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja menyusuli Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang telah awal memulakannya setelah mencapai 80 peratus kadar vaksinasi.

Program yang dimulakan secara rasmi hari ini dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, dan ia disasar melibatkan 3.2 juta remaja berusia antara 12 dan 17 tahun.

Pelaksanaan PICK Remaja adalah penting sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah Oktober ini bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan serta mencegah kewujudan kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.

Di JOHOR, lebih 87,000 pelajar Tingkatan 4 dan 5 di negeri itu bakal menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 di bawah PICK Remaja yang akan dilaksanakan di 173 pusat pemberian vaksin (PPV).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang berkata program berkenaan dijangka berlangsung sehingga akhir November untuk dos pertama manakala Disember bagi dos kedua.

Beliau berkata bagi pelajar yang mempunyai komorbid, suntikan vaksin hanya boleh diambil di PPV tertentu kendalian Kementerian Kesihatan.

Di PAHANG, seramai 42,875 pelajar Tingkatan 4 dan 5 di negeri ini akan menerima suntikan di bawah PICK Remaja, dan semua dijangka selesai untuk dos pertama menjelang hujung bulan ini.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata untuk itu, 22 pusat pemberian PPV awam, 44 institusi pendidikan serta empat Klinik Kesihatan telah beroperasi bagi menjayakan program vaksinasi berkenaan.

Sementara itu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Putih, Kuantan, Lim Zhen Fung,17, berkata ibu bapanya tidak menghalang malah amat menggalakkan beliau untuk menerima suntikan vaksin.

"Saya memang bersedia dan tidak bimbang untuk disuntik kerana ia sebagai inisiatif untuk mengurangkan risiko sekiranya dijangkiti dan vaksin membuatkan saya lebih berasa selamat pergi ke sekolah selain ibu bapa juga memberi nasihat mengenai faedah vaksin," katanya.

Di SABAH, keterujaan untuk kembali ke sekolah, selain yakin akan keselamatan pengambilan vaksin COVID-19, adalah antara faktor mendorong kebanyakan pelajar di daerah Kota Kinabalu untuk tampil mengambil vaksin.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu Nurnadhirah Mohd Sha, 13, ketika ditemui semasa menerima suntikan vaskin berkata pengambilan itu adalah atas kerelaannya sendiri, tanpa paksaan daripada ibu bapanya, meskipun pada awal mengakui agak gementar.

Pelajar Maktab Sabah Mohd Syahmiezzat Arradzzi Mohd Sha, 14, abang sulung kepada Nurnadhirah yang turut disuntik hari ini berkata perasaan risau terhadap jangkitan COVID-19 ketika berada di luar rumah lebih-lebih lagi waktu berada di sekolah, berkurangan selepas selesai berbuat demikian.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Tebobon, Nurul Alya Balqis Jainudin, 12, pula menzahirkan rasa gembira kerana telah disuntik dan jelas tidak sabar untuk kembali semula ke sekolah.

Kesemua tiga pelajar berkenaan ditemui Bernama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi, Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

PICK Remaja dikelolakan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

CITF-A dalam kenyataan sebelum ini menyasarkan 60 peratus remaja berusia antara 12 dan 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 pada November ini, dan 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan