COVID-19

Anak Syarikat LYC Healthcare meterai perjanjian pengedaran vaksin COVID-19

21/06/2021 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun -- Anak syarikat milik penuh LYC Healthcare Bhd, LYC Medicare Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian pengedaran dengan YTB Healthcare Sdn Bhd, anak syarikat 70 peratus milik Yong Tai Bhd untuk menjadi pengedar vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Shenzhen Kangtai Biological Products Co Ltd.

Shenzhen Kangtai Biological Products adalah rakan strategik Yong Tai.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, LYC Healthcare berkata dalam perjanjian itu, syarikat berkenaan akan memanfaatkan rangkaian rangkaian penjagaan kesihatan, korporat dan individu yang luasnya untuk penjualan dan pemasaran vaksin selepas mendapat kelulusan penjualan dan penggunaannya oleh pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia.

"Menerusi perjanjian itu, Kumpulan LYC dapat meningkatkan kemampuannya sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan dengan lebih meluas termasuk rawatan selepas bersalin, penjagaan warga tua, penjagaan anak, kosmetik dan estetika, kesuburan, perkhidmatan perubatan am dan perubatan khusus.

"Kumpulan LYC yakin bahawa perjanjian itu adalah untuk kepentingan terbaik syarikat itu dan pemegang sahamnya kerana kepelbagaian aliran pendapatan melalui penjualan dan pengedaran vaksin susulan daripada pandemik COVID-19," katanya.

Perjanjian itu juga memberi peluang kepada syarikat tersebut untuk terus memperluaskan khidmat penjagaan kesihatan dan pasarannya di Malaysia serta mengekalkan kelebihan daya saing dalam sektor penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan