BERITA COVID–19   COVID: Lelaki 44 tahun kematian terbaharu di Singapura | Program turun padang, lembutkan warga emas terima vaksin | Mulai Selasa, hanya individu positif COVID-19 menerusi ujian RT-PCR dimasukkan ke PKRC Kelantan | MAECC gesa kerajaan percepat kelulusan penggunaan Ivermectin untuk rawat COVID-19 | COVID: 398,846 kes sporadik direkodkan sejak 1 Jan hingga 19 Jun | 
COVID-19

Penduduk pedalaman Sarawak boleh dapatkan vaksin COVID-19 secara walk-in

10/06/2021 06:53 PM

KAPIT, 10 Jun -- Penduduk di kawasan terpencil di Sarawak tidak perlu lagi bimbang tentang pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kerana mereka kini boleh mendapatkan suntikan vaksin secara walk-in di pusat pemberian vaksin (PPV) dan mendaftar selepas itu, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kerajaan negeri sedar akan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk di luar bandar seperti di Kapit untuk mendaftarkan diri, sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual di pejabat residen dan daerah, bagi mendapatkan vaksinasi.

"(kaedah walk-in) ini akan mempercepat proses vaksinasi penduduk di Sarawak," katanya pada sidang media selepas melawat PPV di Dewan Sri Balleh, di sini hari ini.

Menurut beliau, vaksinasi secara walk-in itu hanya terbuka kepada penduduk di kawasan luar bandar yang terpencil dan mencabar, manakala mereka yang tinggal di bandar masih perlu mengikuti prosedur pendaftaran sedia ada.

Beliau berkata  penduduk rumah panjang boleh datang ke PPV yang ditubuhkan oleh pasukan vaksinasi bergerak berdekatan kawasan masing-masing untuk mendapatkan vaksin mengikut jadual yang ditetapkan untuk mereka.

Abang Johari berkata sebanyak 16 pasukan bergerak akan dihantar untuk melaksanakan program vaksinasi di Kapit, 20 pasukan di Bukit Mabong dan masing-masing dua pasukan di Song dan Belaga.

Katanya pasukan tersebut akan menggunakan jalan darat dan air selain helikopter di bawah perkhidmatan doktor udara untuk ke kawasan yang berkenaan.

"Ini adalah tugas yang amat mencabar kerana bahagian Kapit lebih luas daripada negeri Pahang dan ramai penduduknya tinggal di kawasan terpencil," katanya, menambah kawasan mencabar lain yang memerlukan pasukan bergerak seperti itu ialah Baram di Miri, Limbang dan Lawas serta beberapa kawasan di Sri Aman.

Pemvaksinan ke atas  96,723 penerima yang layak termasuk yang dilaksanakan oleh pasukan statik di 32 PPV di Kapit, telah dimulakan bulan ini dan dijangka selesai pada Ogos depan, dan hingga kini seramai 8,662 orang telah divaksinasi.

Abang Johari berkata Kapit  akan menerima 16,680 dos vaksin setiap minggu sehingga selesainya program vaksinasi itu.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat mengenai Pelan Tindakan Program Imunisasi/Vaksinasi Kawasan Luar Bandar Kapit oleh Residen Kapit Nyurak Keti sebelum menyampaikan bantuan makanan Sarawakku Sayang untuk bahagian tersebut.

Beliau turut mengunjungi Hospital Medan Kapit di Dewan Masyarakat Melayu sebelum meninjau sekatan jalan raya di Km2.5 Jalan Kapit-Song.

-- BERNAMA

 

 

 


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan