COVID-19

Maklum kepada polis jika jiran langgar SOP Aidilfitri - KP Perlis

10/05/2021 01:04 PM

KANGAR, 10 Mei -- Orang ramai  dinasihatkan agar memerhati kawasan kejiranan mereka dan memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat individu yang pulang beraya ke kampung tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa, kata Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Beliau berkata maklumat sedemikian diperlukan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih berdegil dan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Aidilfitri 2021.

“Polis Perlis juga akan tingkatkan jumlah keanggotaan dalam memastikan pematuhan SOP serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu di kawasan perumahan...termasuk memperketatkan kawalan di sempadan negeri, stesen bas dan stesen keretapi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Surina juga menasihati orang ramai agar mematuhi SOP Aidilfitri yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan berada di rumah kecuali mempunyai urusan penting.

Menurut beliau kadar pematuhan SOP di Perlis adalah tinggi iaitu 98 peratus dan berharap orang ramai terus mematuhi ketetapan tersebut bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri hijau dan seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

Mengulas mengenai jumlah kenderaan yang dikesan bertambah di Perlis sejak beberapa hari kebelakangan ini, Surina berkata jumlah kemasukan kenderaan ke negeri itu tidak serius iaitu sekitar lima peratus berbanding hari biasa.

“Peningkatan jumlah kenderaan adalah berpunca daripada ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi sekitar negeri ini untuk pulang beraya di samping kemasukan penduduk dari Kedah yang berulang-alik bekerja di Perlis,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata pihaknya akan melakukan rondaan pematuhan SOP Aidilfitri secara menyeluruh di sekitar Kangar bermula hari ini.

“Hari Raya nanti, kita akan ‘all out’ termasuk melakukan rondaan dari rumah ke rumah bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Diharapkan agar orang ramai dapat terus memberi kerjasama dengan polis bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan