COVID-19

PKP di Lahad Datu, PKPD di beberapa kawasan di Sabah, Sarawak mulai Ahad - Ismail Sabri

10/04/2021 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 10 April  -- Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di daerah Lahad Datu, Sabah manakala PKP Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak mulai esok hingga 24 April ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata PKP di Lahad Datu dikuat kuasa berikutan peningkatan mendadak kes positif harian dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di daerah itu dan sehingga kini, terdapat 103 kes positif direkodkan bagi tempoh 14 hari di kawasan tersebut.

Bagi PKPD di Sabah, Ismail Sabri berkata ia melibatkan Kampung Bukit Belacon di Mukim Segama, Lahad Datu dan Kampung Muhibbah Raya di Tawau.

“Pelaksanaan PKP dan PKPD adalah untuk memastikan kadar infeksi terkawal dan tidak menular ke kawasan lain,” menurutnya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

PKPD di Sarawak pula melibatkan Kampung Menuang Baru di Limbang serta Politeknik Mukah dan sembilan Rumah Panjang Sungai Duan juga di Mukah yang akan berkuat kuasa dalam tempoh sama.

Lokasi yang terlibat ialah Rumah Panjang Subing anak Jabo/Stevenson anak Ebek, Rumah Panjang Dingun anak Tidih, Rumah Panjang Nyaun anak Ganai, Rumah Panjang anak Tangkun, Rumah Panjang Budin anak Majang/Migi anak Kadong, Rumah Panjang Kinseng anak Jelian, Rumah Panjang Muda anak Lunjang, Rumah Panjang Ambo anak Ayom dan Rumah Jiram anak Tang.

Beliau berkata PKPD di Pusat Jagaan Rohaniah berhampiran Sekolah Integrasi Ikhwan di Pasir Puteh, Kelantan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan selepas terdapat penurunan jangkitan dengan kes terakhir direkodkan pada 6 April lepas.

Mengulas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri berkata seramai 78 individu ditahan kerana ingkar SOP semalam dengan 74 dikompaun manakala empat lagi direman.

Katanya bagi kawalan sempadan negara pula, sebanyak 49 pendatang tanpa izin ditangkap menerusi Op Benteng dan 13 kenderaan darat dirampas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan