COVID-19

153,250 pekerja ladang sawit di Sabah diarah jalani ujian COVID-19

25/01/2021 10:27 PM

KOTA KINABALU, 25 Jan -- Kerajaan negeri Sabah mengarahkan seramai 153,250 pekerja dari 1,160 estet dan 33,034 ladang pekebun kecil sawit menjalani ujian saringan COVID-19 dalam tempoh 30 hari mulai hari ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata arahan itu dikeluarkan berikutan situasi semasa kes positif COVID-19 melibatkan sektor perladangan sawit di Sabah yang kini di tahap membimbangkan.

Beliau berkata sebanyak enam kluster COVID-19 dikenal pasti dalam sektor perladangan sawit hasil daripada pelaksanaan saringan pekerja asing di bawah program Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Daripada enam kluster ini, 254 kes positif melibatkan pekerja, kontak rapat keluarga serta individu bergejala yang tidak bekerja di ladang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata ladang yang dikenal pasti mempunyai rekod kes positif COVID-19 akan ditutup serta-merta bagi memastikan kerja-kerja pencegahan dapat dilaksanakan dan pembukaan semula operasi tertakluk kepada penilaian Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa COVID-19 di sektor perladangan sawit termasuk memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun pada sidang media COVID-19 kerajaan negeri malam ini, berkata 64 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tulid di Sook dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada seorang guru dan pelajar sekolah itu yang dijangkiti COVID-19.

“Kesemua mereka kini menjalani kuarantin di Institut Pendidikan Guru Keningau,” katanya sambil menambah hasil siasatan awal menunjukkan kebarangkalian jangkitan itu adalah jangkitan komuniti dan bukan di sekolah.

Masidi berkata tidak ada keperluan untuk melaksanakan penutupan sekolah kerana aktiviti disinfeksi setempat dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Keningau sejurus menerima laporan itu semalam, dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa dengan pematuhan SOP yang ketat.

Mengenai perkembangan COVID-19 di Sabah, Masidi berkata sebanyak 348 kes baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu sebanyak 47,139, dengan tiga kematian dilaporkan iaitu dua di Sandakan dan satu di Beaufort.

“Seramai 400 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah seramai 42,806 orang,” kata Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan