COVID-19

Warga emas gelang merah jambu habis minyak ketika ke hospital - Polis

24/01/2021 08:21 PM

ALOR GAJAH, 24 Jan -- Polis hari ini menjelaskan lelaki warga emas memakai gelang merah jambu yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook kononnya ingkar perintah kuarantin sebenarnya kehabisan minyak ketika dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk memotong gelang itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata disebabkan itu, warga emas berumur 69 tahun terbabit terpaksa berhenti untuk mengisi minyak di Masjid Tanah pada  kira-kira 9.54 pagi semalam, sebelum dirakam seorang individu dan ditularkan sehingga menerima pelbagai kecaman. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa telah diarah menjalani kuarantin di rumahnya di Pengkalan Balak bermula 13 Jan lepas hingga semalam dan stesen minyak Petron Masjid Tanah itu merupakan stesen minyak pertama yang dijumpai mangsa dalam perjalanan tersebut. 

“Berdasarkan siasatan, lelaki berkenaan  dalam perjalanan ke HAG bersama isteri dan anak perempuannya bagi memotong gelang merah jambu itu,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Menurut beliau, lelaki itu hanya mengetahui gambarnya mengisi minyak tersebut tular hari ini selepas dimaklumkan oleh anaknya, sebelum dia membuat laporan polis pada kira-kira 1 tengah hari tadi bagi menjelaskan perkara sebenar selain meminta mereka yang berkenaan memadamkan gambar berkenaan.

Orang ramai juga diminta berhenti menularkan gambar tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan