BERITA COVID–19   Lebih separuh remaja Sabah terima dos pertama vaksin COVID-19 | Dua lokaliti di Pahang dikenakan PKPD mulai Selasa - MKN | COVID: Hanya 1.5 peratus kes kategori tiga, empat dan lima | Kes baharu turun kepada 13,104 hari Ahad - KP Kesihatan | Kesiapsiagaan negara hadapi pandemik perlu diberi perhatian dalam RMK12 | 
COVID-19

PKPD di Penjara Bentong, kuarters kakitangan mulai esok

24/01/2021 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan -- Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong dan kuarters kakitangannya bermula esok (25 Jan) sehingga 8 Feb, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat susulan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dalam kalangan tahanan di penjara terletak di Pahang itu dengan sebanyak 615 kes positif direkodkan melibatkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga. 

"Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan," katanya menerusi kenyataan mengenai PKP hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 550 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 499 individu dikompaun, 42 direman manakala sembilan dijamin.

Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (130), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (112), tiada penjarakan fizikal (68), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (44) dan lain-lain (142). 

Menerusi Op Benteng melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia, beliau berkata seramai 54 pendatang tanpa izin ditahan selain dua bot/kapal serta lima kenderaan darat dirampas.

Ismail Sabri turut memaklumkan 6,894 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, 154 orang disahkan positif COVID-19. 

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan