COVID-19

COVID-19: Thailand pertama kali lulus vaksin keluaran Astrazeneca

22/01/2021 12:00 AM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 21 Jan  -- Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand meluluskan penggunaan kecemasan vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc dan Universiti Oxford dengan bekalan pertama 50,000 dos dijangka diterima bulan depan.

Menurut akhbar Bangkok Post hari ini, Setiausaha Agung FDA, Paisarn Dunkum berkata vaksin keluaran AstraZeneca dari Itali itu diluluskan semalam dan lesen import dan pendaftaran vaksin tersebut sah selama setahun.

AstraZeneca merupakan penghasil vaksin COVID-19 pertama diluluskan di Thailand. Sebelum ini, FDA menerima permohonan untuk pendaftaran vaksin daripada AstraZeneca dan Sinovac Biotech Ltd dari China.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul berkata kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 daripada AstraZeneca dijangka diterima pada minggu pertama bulan depan.

Anutin, yang juga Menteri Kesihatan Awam, berkata kumpulan pertama 50,000 dos vaksin AstraZeneca adalah sebahagian daripada 26 juta dos yang diperoleh oleh kerajaan dengan harga US$5 (RM20.20) setiap dos.

“Rundingan sedang berlangsung untuk mendapatkan lebih banyak bekalan kerana kerajaan berhasrat memberi vaksinasi kepada 50 peratus penduduk menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Anutin berkata beliau secara sukarela menjadi orang pertama di Thailand menerima vaksinasi COVID-19.

Thailand telah menempah 61 juta dos daripada Oxford-AstraZeneca dan tambahan dua juta lagi dos daripada Sinovac Biotech. 

Dalam pada itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) melonggarkan sekatan terhadap 13 jenis perniagaan termasuk pusat kecergasan, kemudahan urut tradisional dan spa bermula esok susulan situasi COVID-19 bertambah baik di ibu negara itu.

Bagaimanapun,13 lagi jenis perniagaan dan  premis termasuk sekolah dan institusi pendidikan, tempat hiburan termasuk pub dan bar, tempat rekreasi seperti taman air, taman hiburan, taman permainan dan kedai judi masih ditutup.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 12,795 kes COVID-19 dan 71 kematian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan