BERITA COVID–19   Jumlah kes COVID-19 AS lepasi 29 juta | PKPP: Pastikan 90 peratus penjawat awam bertugas di pejabat - Masidi | PBB puji sumbangan wanita Somalia kepada keamanan, pencegahan COVID-19 | Kelantan benar solat Jumaat, fardhu dengan 50 peratus kapasiti masjid | Situasi getir sudah berakhir, Malaysia akan kembali kukuh menjelang akhir tahun - Tengku Zafrul | 
COVID-19

PdPR: Melaka galak NGO, syarikat swasta bantu murid luar bandar

21/01/2021 04:19 PM

MELAKA, 21 Jan -- Kerajaan negeri Melaka menggalakkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta menghulurkan bantuan kepada murid dan pelajar di luar bandar dalam proses pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata ini bagi memastikan murid dan pelajar terutama mereka yang daripada keluarga berpendapatan rendah termasuk masyarakat Orang Asli tidak jauh ketinggalan dalam pelajaran susulan kekurangan peralatan dan Internet yang mencukupi.

"Sesi persekolahan kali ini menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), saya berharap semua NGO dan syarikat swasta meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada murid dan pelajar di luar bandar termasuk Orang Asli memandangkan ada antara mereka berdepan kekangan liputan Internet atau gajet.

"Pada masa sama kita tidak mahu murid dan pelajar daripada golongan ini tercicir dalam pelajaran ketika pandemik COVID-19, lagi pun kerajaan ada menawarkan pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang mempunyai inisiatif dan aktif mengadakan aktiviti CSR," katanya kepada Bernama selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Haji Abdul Malek di sini hari ini.

Pada Selasa lepas, Bernama melaporkan sesi persekolahan menerusi kaedah PdPR menimbulkan kerisauan Tok Batin Kampung Orang Asli Kubang Badak dan Tebong Stesyen di Alor Gajah, Besi Dulah, 39, berikutan kekurangan kelengkapan dalam kalangan penduduk di kedua-dua kampung itu.

Besi dipetik sebagai berkata ketiadaan komputer, talian komunikasi dan jalur lebar berkelajuan tinggi menyukarkan anak-anak masyarakat Orang Asli untuk mengikuti pembelajaran di rumah masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Datuk Noor Effandi Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka akan menggalakkan guru di luar bandar atau pedalaman menggunakan kaedah pengajaran secara konvensional bagi memastikan murid dan pelajar golongan itu tidak tercicir sepanjang tempoh sekolah ditutup.

"Kaedah tanpa talian, buku teks atau modul pembelajaran (seperti biasa) boleh dibuat mengikut inisiatif guru-guru di kawasan luar bandar kerana JPN Melaka juga menggalakkan kaedah sokongan luar talian ini bagi murid dan pelajar di kawasan tersebut mengikut prosedur operasi standard.

"Alternatif kita juga adalah guru menyediakan modul yang perlu ibu bapa ambil dari sekolah yang mengandungi subjek-subjek utama untuk murid belajar dan membuat latihan dalam tempoh seminggu atau dua minggu. Pada minggu berikutnya modul tersebut perlu dikembalikan untuk semakan guru dan ibu bapa murid diberikan modul yang baharu," katanya.

Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula semalam di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama 2020.

Berikutan itu, semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid mulai tarikh tersebut.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan