COVID-19

Kebenaran Skuad Harimau Malaya berlatih melegakan - Pengurus Pasukan

20/01/2021 05:02 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 20 Jan -- Kebenaran untuk mengadakan kem latihan berpusat secara kuarantin dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sesuatu melegakan dalam usaha membentuk skuad kebangsaan yang mantap.

Pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi menyifatkan keputusan itu dibuat tepat pada masanya memandangkan skuad Harimau Malaya bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe semakin kesuntukan masa menjelang pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Mac depan.

Beliau berkata kebenaran itu memberi peluang kepada Cheng Hoe mengumpulkan barisan pemain bagi membentuk semula keserasian serta menyediakan pasukan pada tahap terbaik bagi menghadapi dua aksi getir kempen kelayakan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.

“Kebenaran ini memberi ruang kepada pasukan negara untuk berlatih supaya kita dapat bersaing dengan lebih baik. Sebelum ini pasukan negara lain mengadakan latihan dan hanya kita tak dapat (jalani latihan), jadi bayangkan jika kita berdepan UAE tanpa sedikit pun persediaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan pihaknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mencapai kata sepakat untuk melaksanakan kem latihan pusat skuad kebangsaan di MSN, Bukit Jalil secara kuarantin.

Perkembangan itu menyaksikan skuad kebangsaan bakal menjalani latihan berpasukan yang pertama dalam tempoh lebih setahun sejak kali terakhir barisan pemain dikumpulkan pada November 2019.

Terdahulu, kem latihan pusat skuad kebangsaan dijadual pada bulan ini terpaksa dibatalkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 26 Jan ini.

Pada masa sama, Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM berkata tarikh bermula kem latihan pusat secara kuarantin yang dicadang diadakan di MSN, Bukit Jalil diserahkan sepenuhnya kepada Cheng Hoe dan barisan kejurulatihan beliau.

Beliau berkata Cheng Hoe perlu segera menentukan tarikh sesuai bagi memulakan kem latihan pusat skuad kebangsaan untuk mengelak timbul kekangan mendapatkan pelepasan pemain daripada pasukan masing-masing.

“Harap Cheng Hoe beri maklum balas secepat mungkin supaya kita dapat atur keperluan lain seperti soal kaedah kuarantin, kita perlu berhubung dengan pasukan pemain tersebut selain berhubung dengan MSN dalam menentukan tempat, semua itu memakan masa,” jelas beliau.

“Kem latihan berpusat di MSN secara kuarantin atau sebaliknya, pada saya yang penting mereka (pemain) dapat dikumpulkan untuk memberi peluang kepada Tan (Cheng Hoe) merangka pelan dari sudut taktikal terutama strategi perlawanan,” tambah Mohd Yusoff.

Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima perlawanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan