COVID-19

KPDNHEP laksana 29 inisiatif bersasar bantu komuniti perniagaan - Nanta

20/01/2021 03:11 AM

KUALA LUMPUR, 19 Jan  -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan 29 inisiatif bersasar bagi membantu komuniti perniagaan melalui Program Prihatin Pandemik COVID-19. 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif itu meliputi dua kategori iaitu moratorium dan membantu merancakkan ekonomi. 

Beliau berkata bagi kategori berbentuk moratorium, ia termasuk pengurangan sehingga 60 peratus ke atas kompaun yang dikeluarkan kementerian bagi kesalahan tertentu; melanjutkan tempoh pendaftaran percuma bagi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) BizTrust sehingga 31 Dis 2021 dan pengurangan kompaun bagi permohonan pembatalan syarikat di bawah Seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016 sehingga 30 Jun 2021. 

“Kategori bagi membantu merancakkan ekonomi pula antaranya Program ‘Franchise @ Marketplace’; penyewaan kios atau kereta tolak di pasar raya terpilih dan melanjutkan tempoh sah pemegang permit barang kawalan dari setahun kepada tiga tahun serta pemegang permit khas barang kawalan dari enam bulan kepada setahun,” katanya. 

Menurut Nanta, kesemua inisiatif itu bertujuan menggalakkan pertumbuhan sektor perdagangan domestik selain mempermudah proses kerja, selaras dengan keperluan norma baharu dalam era pasca COVID-19.

Selain itu, KPDNHEP juga akan meminda beberapa akta di bawah seliaan kementerian bagi menambah baik mekanisme penyelamat dan rehabilitasi bagi syarikat-syarikat yang berhadapan dengan masalah kewangan, katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan