BERITA COVID–19   Jumlah kes COVID-19 AS lepasi 29 juta | PKPP: Pastikan 90 peratus penjawat awam bertugas di pejabat - Masidi | PBB puji sumbangan wanita Somalia kepada keamanan, pencegahan COVID-19 | Kelantan benar solat Jumaat, fardhu dengan 50 peratus kapasiti masjid | Situasi getir sudah berakhir, Malaysia akan kembali kukuh menjelang akhir tahun - Tengku Zafrul | 
COVID-19

PKP: Banci dalam talian dibuka semula - Ismail Sabri

19/01/2021 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan  -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menyusun semula banci bersemuka dan membuka semula platform banci dalam talian, e-Census sebagai usaha mengekang penularan COVID-19, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak.

 Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehubungan itu, orang ramai yang belum membuat pengisian banci diminta untuk mengisi segera maklumat banci melalui www.mycensus.gov.my.

"DOSM) memaklumkan sehingga kini, dianggarkan seramai 23.5 juta penduduk atau 72.0 peratus daripada kira-kira 32.7 juta penduduk Malaysia masih belum mengisi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020)," kata beliau pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan seluruh negara kecuali Sarawak akan berada di bawah PKP selepas kerajaan turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Jan ini hingga 4 Feb depan.

Sementara itu, pada sidang media yang sama beliau memaklumkan 35 kes penyebaran berita palsu  berkaitan COVID-19 telah didakwa di mahkamah dengan 21 daripadanya didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan.

"Kerajaan memandang serius dan tidak akan bertoleransi terhadap penyebar berita palsu sehingga menimbulkan panik dan kegusaran dalam kalangan masyarakat dan orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya," katanya.

Sehingga 18 Jan, sebanyak 278 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan 141 kes daripadanya masih dalam siasatan

Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah MCMC juga telah mengeluarkan sebanyak 424 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan COVID-19.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan