BERITA COVID–19   Kejayaan Malaysia masuk fasa peralihan ke endemik turut dibantu kempen COVID-19 RTM | “Tahniah rakyat Malaysia” - Khairy | COVID-19: Satu lagi kematian dilaporkan di Korea Utara | Hampir 13.2 juta kanak-kanak di AS dijangkiti COVID-19 | Filipina kesan jangkitan tempatan subvarian Omicron BA.2.12.1  | 
COVID-19

Malaysia antara negara terawal gunakan RTK-Ag - PM

18/01/2021 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan -- Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara di dunia  yang terawal menggunakan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) untuk melakukan saringan COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggunakannya sejak Jun tahun lepas dan kit berkenaan dinilai oleh  Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (NPHL) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi memastikan ia mematuhi standard yang diperlukan dan kemudiannya diluluskan oleh Pihak Berkuasa  Peranti Perubatan (MDA) untuk kegunaan lebih meluas dalam komuniti. 

Muhyiddin berkata demikian sebagai respons kepada surat terbuka kepada beliau yang dihantar oleh sekumpulan pakar kesihatan pada 7 Jan lepas dan kumpulan itu antaranya menggesa supaya saringan ditingkatkan dengan menggunakan RTK-Ag dan bukannya kaedah Tindak Balas Rantai Polimer (PCR) untuk membantu mengurangkan penularan COVID-19.

“Sejajar dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), RTK-Ag telah digunakan untuk memastikan keputusan saringan apabila penularan COVID-19 didapati tinggi dalam kawasan penduduk tertentu. Saringan RTK-Ag digunakan sebagai ujian penentu di Sabah sejak 5 Okt tahun lepas.

KKM telah menyediakan lima pusat ujian RTK-Ag di Sabah bagi meningkatkan keupayaan ujian RTK-Ag. Sehingga 14 Jan lepas, sejumlah 365,740 saringan RTK-Ag telah dilaksanakan dengan kadar positif 3.75 peratus yang membantu KKM dalam mengurus penularan wabak itu di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Beliau menambah KKM juga berupaya mengenal pasti kes positif lebih awal, mengasingkan dan merawat mereka serta mempercepatkan aktiviti pengesanan kontak bagi mengurangkan penularan penyakit itu di dalam komuniti. 

Sementara itu bagi mengurus penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing, beliau berkata Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk melaksanakan saringan secara besar-besaran menggunakan kaedah RTK-Ag yang membolehkan pengesanan awal kes positif COVID-19.  

“Setakat 13 Jan, sebanyak 146,083 saringan RTK-Ag sudah dilaksanakan untuk pekerja asing di bawah Program Saringan Perkeso dengan kadar positif 2.0 peratus dan pengasingan seterusnya,” katanya.

Berkenaan makmal diagnostik, Muhyiddin berkata keupayaannya telah ditingkatkan kepada purata 60,000 ujian sehari dengan penyertaan makmal swasta di bawah pemantauan ketat oleh KKM, menggunakan kedua-dua kaedah, iaitu PCR dan RTK-Ag. 

Makmal berkenaan juga secara rutin menjalankan ujian untuk mengenal pasti varian baharu strain COVID-19 di Malaysia lantas membolehkan KKM menambah baik lagi pengurusan strateginya.  

“KKM juga sedang menyelidik kaedah saringan alternatif sebagai contoh ujian air liur dan kaedah-kaedah baharu yang ada di dalam pasaran,” katanya.  

Perdana menteri memberi jaminan keputusan untuk  memindahkan sementara pesakit COVID-19 ke hospital swasta juga akan mengurangkan tekanan kerja petugas di hospital kerajaan yang menggalas bebanan tugas yang berat. 

Buat permulaan, Menteri Kewangan, Ketua Pengarah Kesihatan dan lain-lain pegawai kanan kerajaan telah mengadakan satu perbincangan dengan pengurusan kanan hospital swasta yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memulakan inisiatif pemindahan pesakit itu.

“Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan mengadakan perbincangan dengan pengurusan kanan lain-lain hospital swasta menerusi panggilan video dan disertai hampir 400 peserta untuk memulakan inisiatif itu. Saya rasa terharu dengan sokongan segera yang diterima daripada hospital swasta,” katanya. 

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan