COVID-19

COVID-19: SOP utamakan aspek OSH satu keperluan - Lee Lam Thye

17/01/2021 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan -- Pihak yang berkenaan disaran menggubal prosedur operasi standard (SOP) baharu yang mengutamakan aspek berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) bagi membendung penularan  COVID-19 di tempat kerja.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata amaran mengenai perlunya SOP berkenaan semakin ketara, khususnya bagi mereka yang tinggal, bekerja dan makan di dalam ruang bertutup tanpa sistem pengudaraan yang baik seperti pejabat dan restoran berhawa dingin.  

“Majikan harus mendapatkan bantuan pakar OSH untuk menyediakan maklumat yang relevan dan terkini mengenai perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.   

Jelasnya apabila pekerja kembali ke pejabat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk satu tempoh yang lama, mereka akan terdedah kepada pengudaraan daripada pendingin hawa yang sudah lama tidak diselenggara, sekali gus mendatangkan risiko kepada kesihatan.

“Justeru, amat penting pendingin hawa diselenggara bagi memastikan suhu serta paras kelembapan dalam udara pada tahap yang sesuai. Pastikan juga ada sistem pengudaraan yang baik,” katanya, menambah tingkap pejabat juga harus dibuka sekali-sekala bagi membenarkan pengaliran udara yang lebih baik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan