COVID-19

PKP: Kelantan hadkan 12 jemaah tunai solat Jumaat, fardu

15/01/2021 09:52 PM

KOTA BHARU, 15 Jan  -- Kelantan mengehadkan bilangan jemaah menunaikan solat Jumaat dan fardu tidak melebihi 12 orang bermula esok hingga 26 Jan ini bagi masjid di negeri itu, menurut Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai langkah membendung penularan COVID-19 di negeri berkenaan.

Tengku Mohamad Rizam menjelaskan jemaah yang dibenarkan menunaikan ibadat itu terdiri daripada imam tua, imam muda, bilal, siak serta ahli jawatankuasa masjid.

"Bagi surau dan musalla pula bilangan jemaah dibenarkan tidak melebihi lima orang yang terdiri daripada imam, bilal dan tiga orang ahli jemaah sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata bagaimanapun, jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya membuat saringan suhu badan kepada pegawai dan jawatankuasa yang hadir.

"Bagi mereka yang mempunyai bacaan suhu melebihi 37.4 celsius tidak dibenarkan memasuki masjid termasuk mereka yang bergejala seperti batuk, demam, selesema dan sakit tekak. Malah, ahli jawatankuasa yang berusia 70 tahun ke atas juga tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat itu,” katanya.

Beliau turut berkata jemaah hendaklah memakai pelitup muka dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran masjid selain perlu mengamalkan penjarakan fizikal antara jemaah ketika menunaikan solat sekurang-kurangnya satu meter.

“Bagi memastikan kebersihan, penyediaan cecair pembasmi kuman perlu disediakan di pintu-pintu utama untuk kegunaan pegawai dan jawatankuasa ketika masuk dan keluar masjid dan mereka juga diingatkan supaya membawa sejadah serta mengambil wuduk dari rumah masing-masing sebelum ke masjid.

“Kesemua jemaah perlu segera meninggalkan ruang solat setelah selesai menunaikan solat dan khutbah dan solat Jumaat di semua masjid perlu diselesaikan dalam tempoh 20 minit setelah azan Jumaat,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan berkuat kuasa esok hingga 26 Jan, susulan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 membabitkan kluster dalam komuniti di seluruh negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan