BERITA COVID–19   Upacara perkahwinan bukan Islam dibenar di kawasan PKP, PKPB, PKPP - JPN | COVID: Rakyat Malaysia antara dua kes baharu penularan tempatan di Singapura | Individu ingkar SOP COVID-19 berdepan denda RM10,000 mulai 11 Mac 2021 | MOTAC adakan perbincangan lanjut berkaitan cadangan perluas gelembung perjalanan | MYEG lancarkan ujian COVID-19 menggunakan air liur mulai 1 Mac | 
COVID-19

PKP: Solat Jumaat di Melaka patuh SOP

15/01/2021 05:50 PM

MELAKA, 15 Jan  -- Solat Jumaat pertama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di masjid-masjid Melaka hari ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Tinjauan Bernama di Masjid Al-Alami di Ayer Keroh mendapati selain mengenakan pelitup muka, jemaah juga menjaga penjarakan fizikal dalam usaha bersama mengekang penularan COVID-19 di negeri berkenaan.

Selain itu, pengurusan masjid turut membekalkan pelitup muka kepada jemaah yang tidak membawanya serta menyediakan buku pendaftaran, imbasan Kod QR bagi pengguna aplikasi MySejahtera dan pengesanan suhu di pintu masuk masjid.

Imam Rawatib Masjid Al-Alami Mazlan Abdullah, 63, berkata ini merupakan solat Jumaat pertama yang dilakukan oleh masjid berkenaan sejak PKP mula dilaksanakan kembali bermula Rabu lepas hingga 26 Jan depan.

"Bagi solat Jumaat hari ini, kita memberi peluang kepada jemaah untuk menunaikan solat berkenaan dengan konsep 'siapa cepat dia dapat'.

"Kita mula membuka kawasan masjid bermula pukul 12.30 tengah hari tadi dan sebaik jemaah mencukupi, kita tidak benarkan lagi jemaah lain untuk masuk," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pendekatan yang diambil pada PKP kali ini berbeza berbanding jemaah perlu membuat pendaftaran menunaikan solat Jumaat beberapa hari lebih awal sebagaimana yang dilaksanakan ketika PKP pertama pada tahun lepas.

Solat Jumaat pada hari ini turut dipantau oleh wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka dan polis bagi memastikan pengurusan masjid dan jemaah mematuhi setiap SOP yang ditetapkan, katanya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat sebelum ini dilaporkan berkata hanya 45 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di surau dan masjid sepanjang pelaksanaan PKP membabitkan kalangan kariah, pegawai, ahli jawatankuasa serta petugas masjid atau surau terlibat.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan