COVID-19

PKPB di submukim Ipoh selama dua minggu bermula esok - Ismail Sabri

06/01/2021 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan  -- Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di submukim Ipoh, Perak selama dua minggu bermula esok sehingga 20 Jan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu diambil atas nasihat dan penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap kawasan terbabit.

"KKM hari ini melaporkan berlaku peningkatan kes positif COVID-19 di submukim Ipoh.

Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat 106 kes positif COVID-19 dilapor secara bertaburan dalam submukim Ipoh dan daripada jumlah itu 89 kes adalah daripada jangkitan tempatan yang dilapor dalam tempoh 14 hari," katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata KKM turut mengesahkan terdapat kluster masih aktif melibatkan kawasan kilang bertumpu dalam beberapa kawasan perindustrian di submukim tersebut yang berisiko kepada penularan jangkitan COVID-19.

Katanya pelaksanaan PKPB itu bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru dilanjutkan dari 9 sehingga 22 Jan depan.

"Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di asrama pekerja Westlite yang dijadual tamat pada 8 Jan, namun atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkannya," kata beliau.

Beliau berkata sehingga kini, KKM melaksanakan 1,303 ujian saringan dan daripada jumlah itu 555 kes positif COVID-19 direkodkan, namun KKM mengesahkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan penghuni di asrama terbabit masih tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 194 individu ditahan dan dikompaun semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan, dan antara kesalahan mereka termasuk tidak memakai pelitup muka (84), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (74), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (25) dan lain-lain (11).

Beliau berkata semalam juga menyaksikan 49 pendatang asing dan dua tekong ditahan, selain tujuh kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama  di lorong tikus,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan